TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS
PERASMIAN MAJLIS ILMU 2019
SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
KEPUTERAAN BAGINDA YANG
KE-73 TAHUN
PADA HARI SABTU
13 SAFAR 1441 / 12 OKTOBER 2019
BERTEMPAT
BALAI KHAZANAH ISLAM
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah
Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta
bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah
rahmat-Nya jua, dapatlah kita hadir dan berkumpul di Majlis Ilmu pada
pagi ini.
Pada tahun ini, Majlis Ilmu memaparkan tema: “Manuskrip Islam Mercu Tanda Ketamadunan Umat”.
Bercakap
mengenai ketamadunan umat, pada biasanya kita akan mengimbas balik
sejarah ketamadunan Islam di era Kerajaan Abbasiyyah di Kota Baghdad, di
zaman Pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rashid dan Khalifah Al-Ma’mun, di
mana aktiviti-aktiviti keilmuan seperti perbincangan, penyelidikan,
penulisan dan penterjemahan telah diungkayahkan oleh “Baitul Hikmah”,
yang berjaya melahirkan ramai para ilmuan seperti Al-Kindi, Al-Farabi,
Al-Ghazali serta ramai lagi.
Baitul Hikmah pada ketika itu bukan sahaja merupakan perpustakaan, malahan juga tempat pertemuan para cendekiawan dan ilmuan.
Pada
hemat Beta, Balai yang kita ada sekarang juga ada mirip-miripnya dengan
Baitul Hikmah, kerana Balai ini juga berperanan sangat luas, seperti
mengumpul, memelihara, mengkaji dan menyebarkan khazanah ilmu untuk
kemajuan Islam dan umat seumumnya.
Beta
difahamkan, Balai ini, sejak ia ditempatkan sementara di Bangunan Darul
Ifta’ pada Ogos 2001, telah menerima kunjungan kira-kira lebih seratus
ribu pengunjung terdiri dari orang-orang kenamaan dan para pembesar,
para pengkaji, penuntut dan orang ramai, dari dalam dan luar negara.
Beta gembira, Majlis Ilmu pada tahun ini disempenakan juga dengan perasmian Bangunan kekal Balai ini.
Sesuai
dengan kefungsian Balai, bukan hanya untuk mempamer semata-mata, bahkan
juga mendukung konsep ketamadunan yang lebih menyeluruh, maka Beta
sukacita menamakan Bangunan kekal ini dengan nama : Balai Khazanah Islam
Sultan Haji Hassanal Bolkiah, untuk menggantikan nama: Balai Pameran
Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Beta
berharap, Balai ini akan benar-benar menjadi pusat warisan ilmu Islam,
yang mampu untuk menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti
keilmuan.
Beta juga ingin melihat
komitmen institusi-institusi pengajian tinggi bagi sama-sama menjayakan
aktiviti dan program keilmuan tersebut.
Pada
hemat Beta, Balai ini juga berpotensi untuk menjadi ‘Pusat sehenti
destinasi pelancongan Islam’ atau ‘One-stop Islamic tourism
destination’. Maka sehubungan dengan itu mustahaklah bagi kementerian
dan jabatan yang berkenaan untuk memberikan komitmen padu masing-masing
bagi kemajuan Balai ini.
Di
sini, Beta dengan sukacita mengumumkan, bahawa Balai Khazanah Islam
Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan duduk di bawah Jabatan Perdana Menteri
untuk mengurus dan mentadbirkannya.
Bersukut
dengan suasana keilmuan pada pagi ini, Beta tersuntik untuk
menganugerahkan satu penganugerahan berprestij kepada seorang tokoh
ilmuan Negara Brunei Darussalam, yang dinilai layak menerimanya, demi
kerana keilmuan beliau dalam bidang pengkhususannya. Anugerah tersebut
ialah berupa gelaran : “Professor Kehormat”.
Dengan
lafaz Bismillaahir Rahmaanir Raheem, Allahumma Shalli ‘Alaa Sayyidina
Muhammad, Wa’alaa ‘Aalihi Washahbihi Ajma’een, Beta dengan amat sukacita
merasmikan Majlis Ilmu 2019 berserta semua acara-acara di dalamnya dan
sekaligus merasmikan Bangunan Kekal Balai Khazanah Islam Sultan Haji
Hassanal Bolkiah.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.