Dititahkan pada 20 Rabiulawal 1432 bersamaan 23 Februari 2011.
Kandungan Titah Baginda antaranya adalah seperti berikut :
Semua
perkara adalah berpunca daripada Allah. Nikmat daripada Allah dan
musibah juga daripada Allah. Semua itu berlaku dengan hikmah dan
sebab-sebab yang tersendiri.
Kerana
itu sayugia diingat, dalam apapun perkara, kita jangan melupakan Allah,
termasuk ketika menyambut dan merayakan ulang tahun hari kebangsaan.
Tidakkah
kita ingin mengimbas kembali detik bersejarah perisytiharan
kemerdekaan, dimana kita telah membesarkan Allah didalamnya? Kita telah
pun sama-sama melafazkan "Allahu Akbar", dengan tujuan, untuk mendapatkan restu Allah serta keberkatan dan pemeliharaan-Nya jua.
Alhamdulillah,
tujuan ini tercapai, dengan kemerdekaan yang telah berumur 27 tahun itu
sedang membuahkan nikmat dalam bentuk pelbagai kemajuan disemua bidang.
Namun,
disamping menerima buah kemerdekaan dengan lebatnya, kita juga tidak
lupa terhadap tanggungjawab memelihara kemerdekaan itu dengan
amalan-amalan berhemah yang berpaksikan syukur.
Diantaranya,
kita sekarang dalam langkah membudayakan amalan berjimat-cermat dan
berbelanja menurut kemampuan, sebagai salah satu usaha kearah mengatur
kewangan kita melalui perancangan kewangan atau financial planning.
Tujuan
yang tersirat ialah untuk melakar perubahan sikap dan mentaliti
menyeluruh, supaya rakyat terbiasa dengan cara sederhana serta tahu pula
menghargai nilai.
Misalnya
dalam menghargai subsidi Kerajaan, kita perlu bersikap dan berfikiran
seimbang, dengan berterima kasih disamping pandai memanfa'atkannya
melalui amalan mengelakkan pembaziran dan penyalahgunaan.
Ini,
meliputi semua jenis subsidi, terutama keperluan-keperluan utama,
seperti perubatan, pendidikan, jalan raya, serta juga komoditi asasi,
seperti perumahan, air, letrik, minyak, beras dan gula.
Kesemua
perkhidmatan dan keperluan ini amatlah penting dalam menyumbang kepada
kesejahteraan rakyat. Pada realitinya, semua ini adalah bergantung
kepada ekonomi dan kemampuan kewangan negara, yang pada setakat ini
banyak bersandar kepada hasil minyak dan gas.
Maka
dalam kedudukan ini, Kerajaan sangatlah berhajat untuk mempelbagaikan
ekonomi negara, agar pada masa hadapan, kita tidak hanya semata-mata
bergantung kepada minyak dan gas sahaja.
Dengan
negara mempunyai pelbagai ekonomi dan pendapatan yang lebih luas, serta
ditambah pula dengan kadar pertumbuhan yang tinggi, maka peluang kita
untuk terus makmur dan mewah adalah cerah.
Untuk
mencapai matlamat inilah, Kerajaan Beta sangat menitik-beratkan
kemajuan pendidikan bagi tenaga-tenaga muda kita. Bagi sebuah negara
yang kecil dengan penduduknya yang sedikit, kita sangat memerlukan
rakyat yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pelbagai kemahiran
strategik.
Tidak
cukup dengan pendidikan tinggi semata-mata, anak-anak muda kita juga
perlu memiliki syakhsiah daripada calak MIB dan jiwa murni daripada
asuhan sempurna.
Untuk
inilah, kita mengadakan sekolah, pusat latihan dan pengajian tinggi,
tanpa mengabaikan juga pemberian biasiswa kepada lebih ramai penuntut
yang berkelayakan sebagai pelaburan utama dalam memajukan 'human capital'.
Turut
menjadi utama ialah Perkhidmatan Awam. Ia adalah jentera dan
pemudahcara untuk Kerajaan melakar kemajuan. Pada masa ini sahaja, skop
dan tahap hajat orang ramai terus meningkat, dimana Perkhidmatan Awam
perlu menyediakan ruang yang luas, termasuk penyediaan dasar-dasar dan
pelaksanaan yang cepat lagi berkesan.
Perkhidmatan
Awam berkewajipan mengenal pasti sebarang kelemahan yang ada, serta
menyediakan mekanisme bagi mengatasinya. Kelambatan atau kegagalan
melaksanakan program-program Kerajaan, sepatutnya tidak boleh berlaku,
kerana ia berisiko tinggi boleh menjadikan persaingan kita lemah untuk
menarik pelaburan asing.
Dari
faktor-faktor semula jadi, kita sudah memiliki kekuatan-kekuatan
tersendiri, diantaranya faktor ketenteraman dan kestabilan politik,
ditambah lagi dengan asas ekonomi yang kukuh yang telah dikurniakan oleh
Allah kepada kita. Ini semua menjadi aset penting untuk lebih menarik
lagi pelabur asing ke negara ini. Tinggal sahaja lagi, kita perlu pandai
memelihara dan mempertahankannya.
Maka
untuk itu, semua pihak, dari sektor awam dan swasta, perlulah
meningkatkan lagi kerjasama mereka dalam usaha mengekalkan aset yang
berharga ini.
Dengan
itu nanti, insya Allah, ia bukan sahaja akan meningkatkan lagi
keyakinan pelabur-pelabur asing, malahan juga mampu untuk mengekalkan
kemakmuran negara.
Akhirnya,
Beta dengan ikhlas merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih
kepada segenap lapisan rakyat serta penduduk negara ini termasuk semua
peringkat, ahli Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta
mereka yang berkhidmat di sektor swasta diatas segala bentuk pengorbanan
dan sumbangan mereka kepada negara.
Beta
juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli
Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan
Ulang Tahun Ke-27 Hari Kebangsaan, dan semua peserta serta petugas yang
turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.
Marilah
kita sama-sama berdoa, semoga kita dan Negara akan sentiasa terpelihara
dan mendapat perlindungan daripada Allah Ta'ala jua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.