Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

HINDARKANLAH DIRI DARIPADA BERSIFAT TAMAK

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala dan dalam jasad manusia itu terdapat segumpal daging iaitu hati yang boleh saja mendorong manusia itu untuk melakukan perkara yang baik ataupun perkara yang jahat. Ini kerana di dalam hati inilah tempat berkumpulnya sifat-sifat yang mulia dan sifat-sifat yang keji. Daripada An-Nukman Bin Basyir Radiallahu Anhu, ia mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).

Adapun salah satu sifat keji yang terdapat di dalam hati itu ialah sifat tamak. Tamak adalah sifat yang ingin memiliki sesuatu itu tanpa batas dan selalu berasa tidak cukup sehingga menyebabkan seseorang itu melakukan kerja-kerja yang hina seperti membolot, merampas, menipu, mengambil hak orang lain dan seumpamanya. Mereka yang bersifat tamak akan bertindak dengan rakus menurut kehendak hawa nafsunya tanpa mempedulikan sama ada perkara itu halal mahupun haram. Setentunya hal ini boleh saja menimbulkan perasaan benci, rasa tidak puas hati, perkelahian, perpecahan, perselisihan faham, dendam, permusuhan dan sebagainya. Daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Hari kiamat semakin dekat, dan tidak bertambah (kemahuan) manusia kepada dunia itu melainkan semakin rakus, dan tidak pula bertambah (dekat) mereka itu kepada Allah melainkan semakin jauh.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Hidup manusia pada zaman ini lebih cenderung kepada kehidupan yang mementingkan harta benda, wang ringgit dan pangkat kebesaran. Kehidupan seumpama ini boleh sahaja mempengaruhi seseorang itu untuk bersifat tamak dan mementingkan diri sendiri. Sebagai umat Islam, adalah penting bagi kita untuk berwaspada dan berhati-hati. Jangan sampai harta kekayaan dan kemewahan itu membutakan mata, merosakkan hati dan meracuni akal fikiran kita semata-mata untuk mendapatkan dan memperolehi hasil rezeki dari jalan yang tidak halal atau syubhah.

Sesungguhnya setiap rezeki atau harta yang diperolehi dari jalan yang salah ataupun syubhah dan bercampur antara yang halal dengan yang haram pasti akan memberi kesan yang tidak baik sama ada pada diri sendiri atau keluarga mahupun kepada masyarakat dan negara. Ingatlah, harta itu hanyalah ujian, perhiasan dan tipu daya dunia yang sepatutnya kita urus dan tadbir dengan sebaik-baiknya. Daripada Ka’ab bin Aiyad Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Setiap umat memiliki fitnah (ujian), dan fitnah umatku adalah harta. (Riwayat Imam At-Termizi)

Perlu diketahui, bersifat tamak dan rakus dalam mengumpul harta kekayaan dan kemewahan itu tidak pernah menjanjikan kebahagiaan di dalam kehidupan kerana mereka yang hidup dengan cara yang sederhana dan dalam keadaan yang serba kekurangan. Masih dapat hidup dengan tenang, bahagia, selalu berasa cukup kerana mereka sentiasa bersyukur.

Terdapat suatu kisah dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, iaitu mengenai kisah seorang yang sopak dan seorang yang botak yang tamak serta seorang buta yang selalu bersyukur yang boleh dijadikan sebagai satu iktibar dan pengajaran. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, bahawasanya ia mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Ada tiga orang di kalangan Bani Israel yang berpenyakit sopak, botak dan buta. Allah mahu menguji mereka semua, lalu Allah mengutuskan kepada mereka seorang malaikat. Malaikat tersebut datang kepada orang yang sopak. Lalu bertanya: Perkara apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Aku suka warna dan kulit yang cantik. Manusia berasa diriku kotor dengan kulitku sekarang.

Malaikat pun menyapu kulitnya, lalu hilanglah penyakitnya dan dikurniakan warna dan kulit yang cantik. Malaikat bertanya lagi: Apakah harta paling engkau sukai? Orang yang sopak ini menjawab: “Unta” lalu dia dikurniakan seekor unta yang sedang bunting. Malaikat berkata: Semoga engkau diberkati dengan kurniaan ini.

Malaikat datang pula berjumpa orang yang botak, lalu bertanya: Apakah yang paling engkau sukai? Orang botak itu menjawab: Aku suka rambut yang cantik, dan dihilangkan penyakit yang aku alami ini kerana manusia melihat kotor terhadap diriku. Malaikat pun mengusapnya dan hilanglah penyakit serta dia dikurniakan rambut yang cantik. Malaikat bertanya: Apakah harta yang paling engkau sukai? Dia berkata: “Lembu”. Dia pun diberikan seekor lembu yang sedang mengandung. Malaikat berkata padanya: Semoga engkau diberkati dengan kurniaan ini.

Malaikat datang pula kepada orang yang buta, lalu bertanya: Apakah perkara yang paling engkau sukai? Orang buta ini menjawab: Aku suka jika Allah mengembalikan penglihatanku, sehingga aku mampu melihat manusia dengan penglihatan tersebut. Malaikat pun mengusapnya, lalu Allah mengembalikan penglihatannya. Malaikat bertanya lagi: Apakah harta yang paling engkau sukai? Orang buta ini menjawab: “Kambing”. Lalu dia dikurniakan seekor kambing yang bunting.

Berkembang-biaklah kurniaan kepada dua orang tadi dan juga kepada yang ketiga ini. Ianya berkembang sehingga menjadi satu lembah unta, satu lembah lembu, dan satu lembah kambing. Kemudian malaikat datang semula kepada orang yang sopak dengan menyerupai keadaan sopak dan berkata: Aku seorang lelaki yang miskin, dan bekalanku telah habis dalam perjalanan merentasi bukit. Aku tidak hidup sehingga sekarang, melainkan dengan keizinan daripada Allah dan belas kasihanmu. Maka aku memohon padamu demi zat yang memberikan engkau warna dan kulit yang cantik, serta harta dari unta, adakah kamu mahu memberikanku bekalan untuk aku meneruskan perjalanan?

Orang yang sopak pun berkata: Banyak lagi orang yang memerlukan. Malaikat yang menyerupai itu berkata: Aku seolah-olah mengenali dirimu. Bukankah engkau dulunya seorang yang sopak lalu manusia memandang kotor kepada dirimu, serta miskin kemudian Allah mengurniakan kurniaannya kepadamu. Orang yang sopak ini menjawab: Semua harta ini adalah warisan daripada nenek moyangku. Malaikat berkata: Seandainya engkau berdusta, maka Allah akan mengembalikan engkau kepada asal usulmu.

Malaikat datang pula dalam keadaan botak kepada orang yang botak. Lalu dia bertanya kepadanya sebagaimana ditanya kepada orang yang sopak tadi. Lantas dia menolak permintaan malaikat tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh orang yang sopak. Malaikat itu berkata: Seandainya engkau berdusta, maka Allah akan mengembalikan engkau kepada asal usulmu.

Malaikat datang pula dalam keadaan buta kepada orang yang buta. Lalu berkata: Aku seorang lelaki miskin. Bekalanku telah habis ketika melintasi bukit dalam perjalanan. Aku tidak hidup sehingga sekarang melainkan keizinan daripada Allah, kemudia dari belas kasihanmu. Maka, aku memohon demi zat yang mengembalikan penglihatanmu, berikanlah aku seekor kambing sebagai bekalan dalam perjalanan.

Orang buta ini berkata: Dulunya aku seorang buta, kemudian Allah mengembalikan penglihatanku. Aku juga miskin dahulu, kemudian Allah menjadikan aku kaya. Oleh itu, ambillah harta ini sesuka hatimu. Demi Allah! Aku tidak akan menghalangmu dari mengambil sesuatu selagi mana engkau mengambilnya kerana Allah. Malaikat pun berkata: Peganglah harta milikmu. Sesungguhnya kamu sedang diuji. Maka Allah telah merestui kamu dan memurkai dua orang saudaramu.

Sebagai orang Islam, kita diwajibkan untuk mencari rezeki yang halal lagi baik, melalui usaha atau cara yang betul dan bukan dengan cara yang keji seperti berbohong, menipu dan bersifat tamak. Ketahuilah, rezeki kita telahpun ditetapkan dan ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala sejak dari azali lagi dan hanya Allah Subhanahu Wata'ala sahajalah yang berhak memberi rezeki kepada sesiapa yang ia kehendaki.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Adapun antara penyebab seseorang itu menjadi tamak ialah: Pertama: Terlalu cintakan dunia iaitu cinta yang berlebih-lebihan terhadap segala nikmat, pangkat kebesaran dan kemewahan duniawi, Kedua: Tidak memberikan kehidupan di hari akhirat, Ketiga: Tidak pernah berasa puas dengan apa yang telah dicapai dan miliki, Keempat: Kurang memahami dan menghayati erti hidup bermasyarakat yang sebenarnya iaitu memiliki sifat ihsan, saling tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu dengan yang lain.

Selain itu, antara kesan dari sifat tamak dalam kehidupan ialah timbulnya kekerasan pada hati iaitu apabila seseorang itu melakukan dosa, dia tidak pernah rasa bersalah malah ia juga suka bercakap dusta atau berbohong dan tidak boleh menerima sebarang teguran atau nasihat daripada orang lain.

Ketahuilah, sifat tamak boleh dihapuskan dengan sifat qanaah iaitu berasa cukup dengan segala yang ada. Imam Al-Ghazali Rahmatullah Ta’ala berkata bahawa kemuliaan seorang hamba itu bermula dari qanaah dan kehinaannya pula bermula dari sifat tamak.

Akan tetapi, bagaimanakah caranya untuk sentiasa berasa cukup dengan apa yang kita miliki? Sudah tentunya dengan sentiasa bersyukur dan mengamalkan kesederhanaan dalam semua hal, baik dalam kehidupan, pergaulan, perbelanjaan dan sebagainya serta meyakini bahawa segala rezeki itu sudah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Contohilah kehidupan para anbiya dan para rasul yang telah diutus oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk menjadi contoh dan teladan yang baik bagi seluruh manusia. Di samping itu, kita hendaklah memahami akan bahayanya sifat tamak dalam mengumpul harta sebagaimana yang berlaku kepada Qarun yang tidak pernah berasa cukup dengan harta yang telah dimilikinya hingga sanggup melakukan penindasan dan kezaliman terhadap orang lain, yang akhirnya ditenggelamkan ke dalam perut bumi bersama-sama dengan hartanya.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga diri kita, keluarga kita dan orang-orang yang berada di sekeliling kita dijauhi dan dihindarkan dari bersifat tamak, tidak dibutakan mata dan hati oleh tipu daya syaitan dan harta perhiasan duniawi. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa berasa cukup dengan rezeki yang dimiliki dan sentiasa bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala. Sama-samalah kita berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu hidayah (petunjuk), ketakwaan, dihindarkan dari perbuatan yang buruk, serta memohon kepadaMu kekayaan hati. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah An-Najm ayat 48 tafsirnya:

“Dan sesungguhnya dia yang mengurniakan kekayaan dan kecukupan”

Hindarkanlah Diri Daripada Bersifat Tamak.pdf

Attachments