Muslimin yang dirahmati
Allah,
BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu
Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan
kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala
ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang
sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan
di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang
dirahmati Allah,
Manusia adalah
makhluk ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala dan dalam jasad manusia itu terdapat
segumpal daging iaitu hati yang boleh saja mendorong manusia itu untuk
melakukan perkara yang baik ataupun perkara yang jahat. Ini kerana di dalam
hati inilah tempat berkumpulnya sifat-sifat yang mulia dan sifat-sifat yang
keji. Daripada An-Nukman Bin Basyir Radiallahu Anhu, ia mendengar Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:
Ingatlah bahawa
di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh
jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia
adalah hati (jantung).
Adapun salah satu
sifat keji yang terdapat di dalam hati itu ialah sifat tamak. Tamak adalah
sifat yang ingin memiliki sesuatu itu tanpa batas dan selalu berasa tidak cukup
sehingga menyebabkan seseorang itu melakukan kerja-kerja yang hina seperti
membolot, merampas, menipu, mengambil hak orang lain dan seumpamanya. Mereka
yang bersifat tamak akan bertindak dengan rakus menurut kehendak hawa nafsunya tanpa
mempedulikan sama ada perkara itu halal mahupun haram. Setentunya hal ini boleh
saja menimbulkan perasaan benci, rasa tidak puas hati, perkelahian, perpecahan,
perselisihan faham, dendam, permusuhan dan sebagainya. Daripada Abdullah bin
Mas’ud Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:
Hari kiamat
semakin dekat, dan tidak bertambah (kemahuan) manusia kepada dunia itu
melainkan semakin rakus, dan tidak pula bertambah (dekat) mereka itu kepada
Allah melainkan semakin jauh.
Muslimin yang
dirahmati Allah,
Hidup manusia
pada zaman ini lebih cenderung kepada kehidupan yang mementingkan harta benda,
wang ringgit dan pangkat kebesaran. Kehidupan seumpama ini boleh sahaja
mempengaruhi seseorang itu untuk bersifat tamak dan mementingkan diri sendiri.
Sebagai umat Islam, adalah penting bagi kita untuk berwaspada dan berhati-hati.
Jangan sampai harta kekayaan dan kemewahan itu membutakan mata, merosakkan hati
dan meracuni akal fikiran kita semata-mata untuk mendapatkan dan memperolehi
hasil rezeki dari jalan yang tidak halal atau syubhah.
Sesungguhnya
setiap rezeki atau harta yang diperolehi dari jalan yang salah ataupun syubhah
dan bercampur antara yang halal dengan yang haram pasti akan memberi kesan yang
tidak baik sama ada pada diri sendiri atau keluarga mahupun kepada masyarakat
dan negara. Ingatlah, harta itu hanyalah ujian, perhiasan dan tipu daya dunia
yang sepatutnya kita urus dan tadbir dengan sebaik-baiknya. Daripada Ka’ab bin
Aiyad Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:
Setiap umat
memiliki fitnah (ujian), dan fitnah umatku adalah harta. (Riwayat Imam
At-Termizi)
Perlu diketahui,
bersifat tamak dan rakus dalam mengumpul harta kekayaan dan kemewahan itu tidak
pernah menjanjikan kebahagiaan di dalam kehidupan kerana mereka yang hidup
dengan cara yang sederhana dan dalam keadaan yang serba kekurangan. Masih dapat
hidup dengan tenang, bahagia, selalu berasa cukup kerana mereka sentiasa
bersyukur.
Terdapat suatu
kisah dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, iaitu mengenai kisah
seorang yang sopak dan seorang yang botak yang tamak serta seorang buta yang
selalu bersyukur yang boleh dijadikan sebagai satu iktibar dan pengajaran.
Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, bahawasanya ia mendengar Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wassallam bersabda:
Ada tiga orang di
kalangan Bani Israel yang berpenyakit sopak, botak dan buta. Allah mahu menguji
mereka semua, lalu Allah mengutuskan kepada mereka seorang malaikat. Malaikat
tersebut datang kepada orang yang sopak. Lalu bertanya: Perkara apakah yang
paling engkau sukai? Dia menjawab: Aku suka warna dan kulit yang cantik.
Manusia berasa diriku kotor dengan kulitku sekarang.
Malaikat pun
menyapu kulitnya, lalu hilanglah penyakitnya dan dikurniakan warna dan kulit
yang cantik. Malaikat bertanya lagi: Apakah harta paling engkau sukai? Orang
yang sopak ini menjawab: “Unta” lalu dia dikurniakan seekor unta yang sedang
bunting. Malaikat berkata: Semoga engkau diberkati dengan kurniaan ini.
Malaikat datang
pula berjumpa orang yang botak, lalu bertanya: Apakah yang paling engkau sukai?
Orang botak itu menjawab: Aku suka rambut yang cantik, dan dihilangkan penyakit
yang aku alami ini kerana manusia melihat kotor terhadap diriku. Malaikat pun
mengusapnya dan hilanglah penyakit serta dia dikurniakan rambut yang cantik.
Malaikat bertanya: Apakah harta yang paling engkau sukai? Dia berkata: “Lembu”.
Dia pun diberikan seekor lembu yang sedang mengandung. Malaikat berkata
padanya: Semoga engkau diberkati dengan kurniaan ini.
Malaikat datang
pula kepada orang yang buta, lalu bertanya: Apakah perkara yang paling engkau
sukai? Orang buta ini menjawab: Aku suka jika Allah mengembalikan
penglihatanku, sehingga aku mampu melihat manusia dengan penglihatan tersebut.
Malaikat pun mengusapnya, lalu Allah mengembalikan penglihatannya. Malaikat
bertanya lagi: Apakah harta yang paling engkau sukai? Orang buta ini menjawab:
“Kambing”. Lalu dia dikurniakan seekor kambing yang bunting.
Berkembang-biaklah
kurniaan kepada dua orang tadi dan juga kepada yang ketiga ini. Ianya
berkembang sehingga menjadi satu lembah unta, satu lembah lembu, dan satu
lembah kambing. Kemudian malaikat datang semula kepada orang yang sopak dengan
menyerupai keadaan sopak dan berkata: Aku seorang lelaki yang miskin, dan
bekalanku telah habis dalam perjalanan merentasi bukit. Aku tidak hidup
sehingga sekarang, melainkan dengan keizinan daripada Allah dan belas
kasihanmu. Maka aku memohon padamu demi zat yang memberikan engkau warna dan
kulit yang cantik, serta harta dari unta, adakah kamu mahu memberikanku bekalan
untuk aku meneruskan perjalanan?
Orang yang sopak
pun berkata: Banyak lagi orang yang memerlukan. Malaikat yang menyerupai itu
berkata: Aku seolah-olah mengenali dirimu. Bukankah engkau dulunya seorang yang
sopak lalu manusia memandang kotor kepada dirimu, serta miskin kemudian Allah
mengurniakan kurniaannya kepadamu. Orang yang sopak ini menjawab: Semua harta
ini adalah warisan daripada nenek moyangku. Malaikat berkata: Seandainya engkau
berdusta, maka Allah akan mengembalikan engkau kepada asal usulmu.
Malaikat datang
pula dalam keadaan botak kepada orang yang botak. Lalu dia bertanya kepadanya
sebagaimana ditanya kepada orang yang sopak tadi. Lantas dia menolak permintaan
malaikat tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh orang yang sopak. Malaikat itu
berkata: Seandainya engkau berdusta, maka Allah akan mengembalikan engkau
kepada asal usulmu.
Malaikat datang
pula dalam keadaan buta kepada orang yang buta. Lalu berkata: Aku seorang
lelaki miskin. Bekalanku telah habis ketika melintasi bukit dalam perjalanan. Aku
tidak hidup sehingga sekarang melainkan keizinan daripada Allah, kemudia dari
belas kasihanmu. Maka, aku memohon demi zat yang mengembalikan penglihatanmu,
berikanlah aku seekor kambing sebagai bekalan dalam perjalanan.
Orang buta ini
berkata: Dulunya aku seorang buta, kemudian Allah mengembalikan penglihatanku. Aku
juga miskin dahulu, kemudian Allah menjadikan aku kaya. Oleh itu, ambillah
harta ini sesuka hatimu. Demi Allah! Aku tidak akan menghalangmu dari mengambil
sesuatu selagi mana engkau mengambilnya kerana Allah. Malaikat pun berkata:
Peganglah harta milikmu. Sesungguhnya kamu sedang diuji. Maka Allah telah
merestui kamu dan memurkai dua orang saudaramu.
Sebagai orang
Islam, kita diwajibkan untuk mencari rezeki yang halal lagi baik, melalui usaha
atau cara yang betul dan bukan dengan cara yang keji seperti berbohong, menipu
dan bersifat tamak. Ketahuilah, rezeki kita telahpun ditetapkan dan ditentukan
oleh Allah Subhanahu Wata'ala sejak dari azali lagi dan hanya Allah Subhanahu
Wata'ala sahajalah yang berhak memberi rezeki kepada sesiapa yang ia kehendaki.
Muslimin yang
dirahmati Allah,
Adapun antara
penyebab seseorang itu menjadi tamak ialah: Pertama: Terlalu cintakan
dunia iaitu cinta yang berlebih-lebihan terhadap segala nikmat, pangkat
kebesaran dan kemewahan duniawi, Kedua: Tidak memberikan kehidupan di hari
akhirat, Ketiga: Tidak pernah berasa puas dengan apa yang telah dicapai
dan miliki, Keempat: Kurang memahami dan menghayati erti hidup
bermasyarakat yang sebenarnya iaitu memiliki sifat ihsan, saling
tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu dengan yang lain.
Selain itu,
antara kesan dari sifat tamak dalam kehidupan ialah timbulnya kekerasan pada
hati iaitu apabila seseorang itu melakukan dosa, dia tidak pernah rasa bersalah
malah ia juga suka bercakap dusta atau berbohong dan tidak boleh menerima
sebarang teguran atau nasihat daripada orang lain.
Ketahuilah, sifat
tamak boleh dihapuskan dengan sifat qanaah iaitu berasa cukup dengan segala
yang ada. Imam Al-Ghazali Rahmatullah Ta’ala berkata bahawa kemuliaan seorang
hamba itu bermula dari qanaah dan kehinaannya pula bermula dari sifat tamak.
Akan tetapi,
bagaimanakah caranya untuk sentiasa berasa cukup dengan apa yang kita miliki? Sudah
tentunya dengan sentiasa bersyukur dan mengamalkan kesederhanaan dalam semua
hal, baik dalam kehidupan, pergaulan, perbelanjaan dan sebagainya serta meyakini
bahawa segala rezeki itu sudah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah Subhanahu
Wata'ala.
Contohilah kehidupan
para anbiya dan para rasul yang telah diutus oleh Allah Subhanahu Wata'ala
untuk menjadi contoh dan teladan yang baik bagi seluruh manusia. Di samping
itu, kita hendaklah memahami akan bahayanya sifat tamak dalam mengumpul harta sebagaimana
yang berlaku kepada Qarun yang tidak pernah berasa cukup dengan harta yang
telah dimilikinya hingga sanggup melakukan penindasan dan kezaliman terhadap orang
lain, yang akhirnya ditenggelamkan ke dalam perut bumi bersama-sama dengan
hartanya.
Akhirnya,
sama-samalah kita berdoa semoga diri kita, keluarga kita dan orang-orang yang
berada di sekeliling kita dijauhi dan dihindarkan dari bersifat tamak, tidak
dibutakan mata dan hati oleh tipu daya syaitan dan harta perhiasan duniawi. Mudah-mudahan
kita tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa berasa cukup dengan
rezeki yang dimiliki dan sentiasa bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala. Sama-samalah
kita berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu hidayah (petunjuk),
ketakwaan, dihindarkan dari perbuatan yang buruk, serta memohon kepadaMu
kekayaan hati. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah An-Najm
ayat 48 tafsirnya:
“Dan sesungguhnya
dia yang mengurniakan kekayaan dan kecukupan”
Hindarkanlah Diri Daripada Bersifat Tamak.pdf