Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MENGERATKAN SILATURAHIM

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan sama-sama mengukuhkan iman dan ketaqwaan kepadaNya dengan mematuhi segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Hanya berbekalkan iman, taqwa dan bertawakal kepadaNya sahajalah, kita pasti selamat di dunia dan selamat di akhirat. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala terus menetapkan dan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita hingga ke akhir hayat.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nisaa’ ayat 1:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٍ۬ وَٲحِدَةٍ۬ وَخَلَقَ مِنۡہَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡہُمَا رِجَالاً۬ كَثِيرً۬ا وَنِسَآءً۬‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبً۬ا

صدق الله العظيم

“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam Alaihissalam), Dia (Allah) menciptakan dan daripada pasangannya Hawa, Dia (Allah) mengembang-biakan daripada kedua-duanya zuriat keturunan laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwa kepada Allah yang dengan namanya kamu saling meminta serta peliharalah hubungan silaturahim kaum kerabat. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengawasi (Memerhati) kamu.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Ayat Al-Qur’an tadi menjelaskan betapa pentingnya kita mengeratkan hubungan silaturahim dalam kehidupan dan keutamaan dalam mengeratkan hubungan silaturahim itu adalah kepada kaum kerabat ataupun yang ada hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam menyatakan bahawa orang yang memutuskan hubungan silaturahim itu tidak akan masuk syurga. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Daripada Jubair bin Mu’im, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.

Silaturahim ialah jalinan atau ikatan hubungan yang dibina secara bersama-sama antara sesama keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga dan sahabat handai. Adapun mengeratkan hubungan silaturahim itu adalah dengan berbuat baik kepada sesama manusia, memberi pertolongan jika mereka memerlukan, bersikap lemah lembut, nasihat menasihati, dan menjaga perasaan mereka. Ketahuilah, kesempurnaan dan kemantapan iman seseorang bukan hanya setakat beriman dengan rukun iman yang enam sahaja, bahkan menghubungkan silaturahim juga adalah antara cabang-cabang iman. Oleh itu, agama Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga hubungan silaturahim. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam baginda bersabda: Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia memuliakan tamunya, dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia menyambung tali silaturahim, dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata baik atau diam.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Imam As-Syafiee Rahmatullah Taala berkata bahawa barangsiapa yang menjalin ukhuwah persaudaraan dan menghidupkan silaturahim, maka ia akan memperolehi sepuluh keutamaan:

Pertama: Mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala kerana Allah Subhanahu Wata'ala dan penduduk di langit amat suka kepada orang yang menghubungkan ukhuwah persaudaraan.

Kedua: Mengembirakan para malaikat di langit kerana mereka amat suka kepada orang yang menhubungkan ukhuwah persaudaraan.

Ketiga: Dapat menambahkan pahala amalnya setelah ia meninggal dunia kelak.

Keempat: Dapat menambah dan menimbulkan rasa kasih sayang dalam pergaulan seharian.

Kelima: Dapat menambah dan menimbulkan keberkatan kepada rezeki.

Keenam: Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usianya.

Ketujuh: Menjadikan iblis dan syaitan bertambah gelisah dan sakit hati.

Kelapan: Disegani dan dihormati oleh masyarakat yang berada disekelilingnya.

Kesembilan: Dapat mengembirakan orang yang berada di alam barzakh.

Kesepuluh: Dapat menzahirkan kegembiraan pada kedua belah pihak kerana tiada amalan yang lebih baik melainkan mengembirakan hati orang-orang yang beriman.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam membina dan menjaga hubungan silaturahim, ada beberapa cara yang boleh kita lakukan antaranya seperti sering memberi dan menjawab salam atau bertegur sapa, menghadiri undangan atau jemputan, menghulurkan bantuan dan pertolongan sama ada dengan tenaga atau wang ringgit, kunjung-mengunjungi antara satu sama lain, menziarahi ketika ia sakit dan menghadiri pengebumian jenazah.

Pada masa kini, pengunaan media baharu seperti Facebook, Whatsapp, Telegram dan lain-lain adalah sangat digemari dan menjadi kemudahan untuk berhubung dan berkomunikasi. Pengunaan kemudahan-kemudahan tersebut bolehlah dimanfaatkan oleh kita semua dengan sebaik-baiknya terutama dalam mengeratkan hubungan silaturahim. Dengan yang demikian, hubungan yang jauh menjadi semakin dekat, yang renggang menjadi rapat. Kita ada membaca dan melihat di media baharu dan media massa bahawa terdapat golongan yang hidup susah dan serba kekurangan sedangkan mereka masih mempunyai kaum keluarga yang berkemampuan untuk menjaga dan membantu mereka. Maka disinilah peranan kita untuk mempereratkan dan memperkukuh hubungan silaturahim kita dengan membantu mereka sama ada keluarga, jiran tetangga atau sahabat yang memerlukan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Daripada Aisyah Radiallahu Anha isteri Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam baginda bersabda: Silaturahim adalah daun pohon yang rendang barangsiapa menyambungnya maka aku akan menyambungnya dan barangsiapa memutuskannya maka aku pun akan memutuskannya.

Pada kelazimannya, hubungan silaturahim itu terputus berpunca daripada beberapa sebab antaranya rasa tidak puas hati, sifat dendam, sombong, mementingkan diri sendiri, hutang-piutang, hasutan, fitnah, hasad dengki, iri hati dan lain-lain lagi. Namun antara yang sering menjadi sebab hubungan silaturahim itu menjadi renggang ialah pertengkaran atau perselisihan yang disebabkan oleh harta. Ingatlah, harta itu hanyalah perhiasan dunia dan adalah lebih elok jika kita menumpukan perhatian kepada kebahagiaan akhirat yang kekal abadi sebagai jalan untuk mendekatkan diri dan mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya hubungan silaturahim itu juga boleh terputus disebabkan perkelahian antara sanak saudara, anak-beranak, adik-beradik, rakan atau jiran tetangga di mana kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran, tidak bersikap terbuka dan tidak mahu bertolak-ansur serta tidak mahu mengalah untuk memohon kemaafan sehingga ada yang sanggup melakukan perbuatan syirik, keji dan terkutuk seperti sihir untuk menyakiti orang yang dibencinya. Nauzubillahiminzalik.

Oleh itu, sama-sama kita beringat, tanggungjawab untuk membina semula hubungan silaturahim yang terputus itu bukan hanya terletak kepada pihak yang bermusuhan sahaja, akan tetapi kaum keluarga sanak saudara atau kawan-kawan juga memainkan peranan yang sangat penting selaku orang tengah dalam mendamaikan dan menyambungkan semula hubungan silaturahim itu. Selain itu, jika ada pertelingkahan yang amat berat antara keluarga maka eloklah meminta nasihat dan pandangan daripada ahlinya dan pihak yang bertanggungjawab. Janganlah disebabkan mestilah kecil dan remeh-temeh, hubungan keluarga menjadi renggang atau retak. Kerenggangan ini boleh menimbulkan ketegangan yang menyebabkan mereka bermasam muka, saling bermusuhan, benci-membenci dan akhirnya boleh menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini yang boleh menghancurkan hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

Oleh itu, sentiasalah kita berbuat baik kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa ataupun agama, berkawallah dengan akhlak yang mulia lagi terpuji, bersabarlah terhadap perbuatan yang menyakitkan atau ujian yang menimpa. Sama-samalah kita berdoa: Ya Allah, lancarkanlah urusan kami pada hari ini, indahkanlah ia dengan silaturahim yang baik dan limpahkan kamu dengan rezeki yang berkat. Ya Allah, jika hari ini ada antara kami yang berasa disakiti dan dizalimi kerana kesalahan serta kesilapan kami yang disenghajakan ataupun tidak disenghajakan, maka bukakanlah pintu hati mereka agar memaafkan segala kesalahan dan kesilapan kami. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Hujurat ayat 10:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

صدق الله العظيم

 “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Attachments