Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

PENTINGNYA MENJAGA KEBERSIHAN

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita sama-sama mengukuh dan meningkatkan iman dan taqwa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Dengan berbekalkan iman dan taqwa, mudah-mudahan kita sentiasa selamat di dunia dan selamat di akhirat. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala terus menetapkan dan meningkatkan keimanan dan ketaqawaan kita hingga ke akhir hayat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Agama Islam adalah agama yang syumul merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah soal menjaga kebersihan. Menjaga kebersihan adalah sesuatu yang disukai Allah Subhanahu Wata'ala dan rasulNya sama ada menjaga kebersihan rohani mahupun jasmani, kedua-dua perkara ini tidak boleh dipisahkan kerana kebersihan melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Daripada Abu Malik Al-Ashari berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Kebersihan ini sebahagian daripada iman.

Sesungguh agama kita menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam semua perkara yang melibatkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara kerana kebersihan boleh mendatangkan suasana yang tenang, kesihatan yang terjamin dan kesejahteraan kepada kita semua.

Agama kita juga sangat mengambil berat tentang penjagaan kebersihan rohani lebih-lebih lagi kebersihan hati iaitu dengan menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmunah seperti sifat marah, hasad dengki, kedekut, terlampau banyak makan, terlampau banyak cakap, kasihkan kemegahan, kasihkan dunia, ujub, takabur, riak dan sebagainya. Semua itu tidak dapat dihindarkan jika kita tidak berusaha untuk mensucikan hati nurani kerana dari hatilah punca segala penyakit zahir dan batin. Ketahuilah, setiap amalan baik dan bersih dari segi rohani dan jasmani adalah disukai oleh Allah Subhanahu Wata'ala kerana Allah Subhanahu Wata'ala menyukai hambaNya yang sentiasa mensucikan diri. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 222:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٲبِينَ وَيُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِينَ

صدق الله العظيم

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Menjaga kebersihan hendaklah dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan kita sama ada kebersihan diri sendiri, tempat tinggal, masjid-masjid, tempat-tempat awam dan tempat makan seperti restoran-restoran dan sebagainya. Ketahuilah, kita hendaklah peka dan bertanggungjawab untuk menjadikan tempat-tempat ibadah seperti masjid, surau atau balai ibadat sentiasa dalam keadaan bersih. Begitu juga dengan segala kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan seperti tandas atau bilik air. Selain itu tempat-tempat peranginan, tempat-tempat riadah, saliran-saliran, sungai-sungai dan lain-lain hendaklah dijaga supaya sentiasa dalam keadaan yang baik, kelihatan bersih, dan tidak pula dirosakkan oleh yang tidak bertanggungjawab.

Perlu disedari, bahawa pengabaian kebersihan boleh menyebabkan tersebarnya pelbagai penyakit denggi, kolera, cirit-birit, keracunan makanan dan sebagainya. Dengan mengabaikan kebersihan juga akan mengakibatkan suasana alam sekita yang tidak sihat dan udara yang tidak segar. Adapun membudayakan amalan hidup bersih ini bermula dari rumah. Oleh itu, ibubapa hendaklah membimbing dan mengajar ahli keluarga tentang aspek kebersihan. Jadilah keluarga yang mementingkan kebersihan yang akhirnya akan menjadikan masyarakat yang mengutamakan kebersihan.

Untuk melahirkan persekitaran hidup yang bersih dan sentiasa kelihatan menarik, perkara-perkara yang perlu kita hayati dan amalkan bersama adalah seperti berikut:

Pertama: Kita hendaklah mengamalkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadah, tempat kerja dan seluruh tempat awam kerana agama kita mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan.

Kedua: Setiap individu hendaklah mendisiplinkan diri dalam memikul tanggungjawab menjaga kebersihan dan hendaklah memiliki sikap suka kepada kebersihan.

Ketiga: Mengamalkan budaya tegur-menegur dan nasihat-menasihati sesama kita dalam hal menjaga kebersihan. Amalkan sikap tidak camah mata jika ternampak kekotoran. Dengan demikian, ia akan melahirkan perasaan cinta kepada kebersihan dan benci kepada kekotoran.

Keempat: Menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin seperti tong sampah, tong kitar semula dan tempat pembuangan sampah awam tanpa membiarkan sampah sarap dan kekotoran bertaburan merata-rata.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Amalan bergotong-royong adalah satu amalan yang terpuji menjadi kebanggaan masyarakat sejak dahulu lagi. Akan tetapi amalan tersebut sudah semakin berkurang pada zaman sekarang disebabkan kesibukan bekerja, keluarga dan seumpamanya.

Alangkah banyaknya, amalan tersebut disemarakkan kembali. Sama-samalah kita mengamalkan sikap bantu-membantu dan bergotong-royong seperti membersihkan persekitaran rumah, masjid, tanah perkuburan orang-orang Islam, tempat riadah, peranginan dan juga tempat-tempat awam. Kita hendaklah mempunyai kesedaran dan tanggungjawab, janganlah mengharapkan pihak tertentu atau pekerja-pekerja sahaja yang melakukan pembersihan. Selain itu, amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim kita dan masyarakat amnya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Maidah ayat 2:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ...

صدق الله العظيم

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah Subhanahu Wata'ala).”

Akhirnya, sama-samalah kita menjaga kebersihan dalam kehidupan kita seharian sama ada kebersihan di tempat awam, tempat-tempat persendirian, tubuh badan mahupun kebersihan jiwa dan rohani. Mudah-mudahan dengan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan kita, Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang bersih dan bebas dari sebarang penyakit dan mara bahaya. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa menjadikan kita orang-orang yang sentiasa bertaubat, mensucikan diri dan menjadikan kita hambaNya yang sentiasa mengerjakan amal soleh. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ash-Syams ayat 9-10:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا(9) وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا(10)

صدق الله العظيم

“Sesungguhnya berjayalah orang yang mensucikan jiwanya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.”

Attachments