Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

AMALKAN SIKAP BERSEDERHANA DALAM BERBELANJA

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan telah menganugerahkan nikmat yang terlalu banyak kepada hamba-hambaNya seperti nikmat kebahagiaan, nikmat kesihatan, nikmat kemakmuran, nikmat kekayaan dan sebagainya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ibrahim ayat 34:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَءَاتَٮٰكُم مِّن ڪُلِّ مَا سَأَلۡتُمُوهُ‌ۚ وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآ‌ۗ إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَظَلُومٌ۬ ڪَفَّارٌ۬

صدق الله العظيم

“Dan Dia telah mengurniakan kepada kamu segala apa yang kamu pohonkan kepadanya, dan jika kamu menghitung nikmat Allah tentulah kamu tidak terkira banyaknya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat kufur”

Perlu diingat bahawa ujian bukan sahaja berbentuk kesusahan tetapi termasuk juga kesenangan dan nikmat. Ada kalanya nikmat yang kita perolehi itu menyebabkan kita lalai dan lupa kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana itulah baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam telah mengingatkan kepada kita supaya memanfaatkan segala nikmat yang kita perolehi dengan sebaik-baiknya. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam:

عن ابن عباس رضى الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لرجل وهو يعظه: إغتنم خمسا قبل خمس: شبابك قبل هرمك، وصحتك قبل سقمك، وغناك قبل فقرك، وفراغك قبل شغلك، وحياتك، وحياتك قبل موتك.

 {رواه الإمام الحاكم}

Maksudnya:

Daripada Ibni Abas Radiallahu Anhuma ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda kepada seorang lelaki dan baginda menasihatinya: Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara yang lain. Masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum fakirmu, masa lapangmu sebelum kesibukanmu dan masa hidupmu sebelum matimu.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Adapun antara nikmat yang boleh melalaikan itu ialah nikmat harta. Oleh itu, agama kita telah mengajar cara berbelanja dan menguruskan harta dengan betul sebagaimana yang telah diajarkan dalam Al-Qur’an dan sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam iaitu hendaklah berbelanja dengan cara yang sederhana, tidak berlebih-lebihan atau membazir. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 67:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُواْ لَمۡ يُسۡرِفُواْ وَلَمۡ يَقۡتُرُواْ وَڪَانَ بَيۡنَ ذَٲلِكَ قَوَامً۬ا

صدق الله العظيم

“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara kedua-duanya.”

Sesungguhnya mengamalkan sikap bersederhana dalam kehidupan dapat mengelakkan diri daripada bersikap boros dan membazir. Dalam berbelanja kita hendaklah mengutamakan keperluan bukannya mengutamakan kemahuan. Sikap berbelanja mengikut hawa nafsu mesti dihindari dan dibendung sebelum ia menjadi tabiat. Ketahuilah, sikap boros berbelanja boleh mengundang masalah seperti menanggung hutang dan sebagainya.

Sebagai umat Islam kita sepatutnya mengamalkan sikap berjimat cermat serta bersederhana dalam apa-apa juga yang kita belanjakan kerana dengan amalan tersebut dapat mendisiplinkan diri kita menuju ke arah sifat qanaah iaitu menerima dengan rela apa yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam sendiri mengamalkan sifat qanaah  dan bersifat sederhana. Di dalam sirah ada menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam sendiri hidup dalam keadaan yang amat sederhana, walaupun bukit dan gunung-ganang yang ada disekitarnya pernah ditawarkan agar dijadikan emas dan perak, akan tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam menolaknya dan tetap memilih cara hidup yang sederhana.

Imam Ahmad ada menriwayatkan daripada Abdullah bin Abas mengenai kisah Saidina Umar yang memasuki bilik Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam semasa beliau menziarahi baginda. Saidina Umar berkata: Akupun duduk dan aku melihat tanda tikar pada badan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam. Aku ternampak segenggam gandum dan sekeping kulit tergantung, aku pun terus menangis. Lalu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam bertanya, wahai Ibni Khatab mengapa kamu menangis? Umar menjawab, mengapa tidak, ya Rasullullah. Aku ternampak bekas tikar kasar di badanmu dan aku melihat hartamu hanya sekadar apa yang aku lihat sekarang. Bayangkan Maharaja Rum dan Maharaja Parsi yang hidup dalam kelazatan, sedangkan kamu adalah Nabi hidup seperti ini? Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam terus bersabda, wahai Ibni Khatab, apakah kamu tidak redha bahawa bagi kita akhirat dan bagi mereka dunia? Kisah itu jelas membuktikan bahawa Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassallam suka untuk hidup dalam keadaan sederhana dan tidak melakukan pembaziran.

Oleh itu, jika kita mahu ekonomi diri kita, keluarga dan masyarakat stabil dan terjamin. Kita hendaklah mengamalkan cara perbelanjaan yang bijak, sederhana dan berperancangan seperti mengutamakan barang-barang yang benar-benar diperlukan, mengamalkan tabiat menyimpan wang (menabung), tidak mengamalkan gaya hidup mewah dan boros. Ingatlah agama kita melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana membazir merupakan satu tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak dan melimpah ruah. Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut hawa nafsu. Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Al-Isra’ ayat 27:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا

صدق الله العظيم

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir membelanjakan harta kepada pada jalan yang menyalahi syarak itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya”.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, pada ketika ini warga perkhidmatan awam menikmati pembayaran bonus sebagai inisiatif kepada pekerjaan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun. Sememangnya pembayaran bonus sangat dinanti-nantikan oleh setiap warga perkhidmatan awam. Walaupun pendapatan bonus boleh dikatakan lumayan, namun buka bererti kita harus berhabis-habisan membelanjakannya untuk sesuatu hal yang tidak mendatangkan faedah dan manfaat. Ketika kita menikmati wang bonus itu juga, ibubapa seharusnya jangan lupa untuk menyediakan keperluan yang sangat penting seperti barangan atau persediaan untuk persekolahan anak-anak seperti pakaian, buku-buku dan seumpamanya. Anak-anak juga perlu dinasihati agar mengunakan semula barang-barang seperti beg dan alat-alat tulis yang masih dapat dipakai. Berbelanjalah secara bijaksana dengan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang penting sahaja tanpa melakukan pembaziran, apatah lagi sampai berbelanja melebihi had kemampuan kerana sifat berjimat-cermat dalam berbelanja amat dituntut dalam agama Islam.

Oleh itu, amalkan sikap bersederhana dalam berbelanja dan mensyukuri nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa melimpahkan rahmat yang berterusan, nikmat yang berkekalan dan memberikan petunjuk serta hidayahNya supaya kita dapat hidup dengan bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Hadid ayat 7:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

ءَامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَأَنفِقُواْ مِمَّا جَعَلَكُم مُّسۡتَخۡلَفِينَ فِيهِ‌ۖ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَأَنفَقُواْ لَهُمۡ أَجۡرٌ۬ كَبِيرٌ۬

صدق الله العظيم

“Berimanlah kepada Allah dan rasulNya, dan belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada harta kurniaanNya yang dijadikannya kamu sebagai penguasaNya. Maka orang-orang yang beriman antara kamu dan membelanjakan sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah, mereka beroleh pahala yang besar.”

Attachments