Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

ADAB MENZIARAHI TANAH PERKUBURAN

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat. Dan khasnya dalam bulan Ramadhan ini, bulan mulia dengan peluang-peluang yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala bagi kita beramal ibadah dan amal khairat untuk meraih pahala yang berganda sambil memohon ampunan dan redha Allah Subhanahu Wata'ala. Kerana itu, di samping kita menunaikan kewajipan ibadah puasa, kita tingkatkan lagi amal ibadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana segala segala amal ibadah yang dikerjakan di bulan ini dijanjikan dengan ganjaran yang berlipat ganda, maka kita rebutlah peluang ini dengan memperbanyakkan membaca Al-Qur’an, berzikir, berdoa, beristigfar, bersedekah dan sebagainya.

Di bulan Ramadhan yang mubarak ini, ramai di kalangan kita mengambil kesempatan menziarahi tanah perkuburan. Amalan menziarahi kubur adalah amalan yang mulia lazim dilakukan di negara ini. Amalan tersebut semakin bertambah bila tibanya Ramadhan dan di pagi Hari Raya Aidilfitri.

Menziarahi tanah perkuburan merupakan satu aamalan yang dituntut oleh syarak dan ia adalah satu jalan yang paling berkesan untuk menimbulkan rasa zuhud iaitu meninggalkan keseronokan dunia dan mengingati akan kematian. Ingatlah, kehidupan di dunia ini hanyalah sementara, akhirat jugalah yang kekal abadi. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah:

عن ابن مسعود رضى الله عنه، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: كنت نهيتكم عن زيارة القبور، فزوروها. فإنها تزهد فى الدنيا، وتذكر الآخرة

Maksudnya:

Daripada Ibnu Mas’ud Radiallahu Anhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Pada mulanya aku melarang kamu menziarahi kubur, kini bolehlah kamu menziarahinya kerana sesungguhnya menziarahi kubur itu boleh menzuhudkan (menjadikan hidup tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia) dan mengingati akhirat.

Menziarahi kubur juga adalah salah satu cara untuk kita mendoakan orang yang telah meninggal dunia sama ada kepada kedua ibubapa, anak-anak, saudara-mara dan muslimin-muslimat yang telah kembali ke rahmatullah agar mereka sentiasa dilimpahi rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

عن أبى هريرة رضى الله عنه: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: إذا مات الإنسان انقطع عنه عمله الا من ثلاثه: إلا من صدقة جارية، او علم ينتفع به، أو ولد صالح يدعوله.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, bahwasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Apabila seseorang manusia itu mati, akan terputuslah daripadanya segala amalannya melainkan tiga perkara: sedekah yang berterusan manfaatnya, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai umat Islam kita hendaklah mematuhi dan menjaga adab-adab ketika menziarahi kubur. Antaranya:

Pertama: Sebelum menziarahi kubur, disunatkan kita berwudhu, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.

Kedua: Apabila kita sampai ke tanah perkuburan, disunatkan kita memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur dengan iringan doa, antaranya:

Assalamualaikum sekalian saudara-saudara penghuni kubur! Mudah-mudahan Allah melimpahkan kesejahteraan kepada kamu saudara-saudara sekalian. Sesungguhnya kami In sya Allah akan menyusuli kamu, kami memohon kepada Allah untuk kita semua yang masih hidup dan yang sudah kembali ke rahmatullah akan beroleh kesejahteraan.

Ketiga: Tidak berbual dengan percakapan kosong yang tidak berfaedah semasa berada di tanah perkuburan.

Keempat: Haram melakukan perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah dengan harapan semoga memperolehi berkat dan sebagainya.

Kelima: Sunat duduk menghadap ke arah mukanya serta membaca ayat suci Al-Qur’an seperti membaca surah Al-Ikhlas atau membaca surah Yaasin dan menghadiahkan pahala kepada ahli kubur tersebut.

Keenam: Sunat menghadap kiblat ketika berdoa semoga Allah mengampuni dosa dan melimpahkan rahmat ke atas roh ahli kubur.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Seperti lazimnya di negara kita, amalan bersedekah selalu dilakukan selepas ziarah kubur, amalan itu sememangnya amalan yang baik dan terpuji kerana amalan bersedekah adalah antara sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dan diniatkan kepada ahli kubur agar pahalanya akan sampai kepada penghuni kubur tersebut. Walau bagaimanapun, janganlah dijadikan bersedekah di kubur itu suatu kewajipan atau kemestian sehingga membebankan diri sendiri.

Setelah itu disunatkan pula menjirus air dan meletakan pelepah yang masih hijau serta tumbuh-tumbuhan wangi yang masih basah di atas kubur. Semasa berada di tanah perkuburan, kita dilarang memijak kubur dengan senghaja tanpa keperluan atau hajat, tetapi tidaklah menjadi kesalahan jika tiada jalan lain dan terpaksa melaluinya. Makruh hukumnya jika kita duduk di atas kubur yakni bertepatan dengan kedudukan mayat di dalam kubur. Tetapi tidaklah dilarang jika duduk disekitar atau disekeliling kubur tersebut.

Sesungguhnya amalan menziarahi kubur mempunyai tujuan dan hikmahnya tersendiri, antaranya adalah supaya dikasihi oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebab mengikuti sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Selain itu, ziarah kubur juga dapat mengingati kepada kita asal-usul kejadian kita yang berasal daripada tanah dan kepada tanah juga kita akan dikembalikan. Dengan penghayatan sedemikian, In sya Allah akan mengamit rasa hati dan kesedihan yang akan melahirkan kesedaran untuk melakukan segala suruhan Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi segala laranganNya.

Akhirnya, marilah kita sama-sama mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian dan persiapan menuju ke alam barzakh kerana kita tidak mengetahui apakah nasib kita setelah berada di dalamnya. Oleh itu, tingkatkanlah amal ibadah, carilah keredhaannya agar kita mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kesan dari amalan ziarah kubur yang kita lakukan itu dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita untuk mengingati akan kematian dan sentiasa bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga ahli kubur dan kita semua mendapat rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat ketenteraman serta terhindar dari siksa kubur dan azab api neraka. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Jumuah ayat 8:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

قُلۡ إِنَّ ٱلۡمَوۡتَ ٱلَّذِى تَفِرُّونَ مِنۡهُ فَإِنَّهُ ۥ مُلَـٰقِيڪُمۡ‌ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ

صدق الله العظيم

“Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu tetap akan menemui kamu juga, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, lalu dia akan memberitahu kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan.”

Attachments