Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

KEWAJIPAN SEMBAHYANG LIMA WAKTU

​Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat didunia dan selamat diakhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wataala memerintahkan hambanya supaya menyeru kearah kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran. Justeru islam adalah agama yang sempurna yang membimbing dan mendidik umatnya supaya melakukan kebaikan agar hidup sempurna dan bahagia. Sesungguhnya kebahagiaan itu adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada hambanya.

Salah satu perkara yang membawa seorang muslim kearah kehidupan yang sempurna dan bahagia itu ialah menunaikan sembahyang. Sembahyang itu merupakan tiang agama, barangsiapa yang mengerjakannya bererti ia telah menegakkan agamanya dan barangsiapa yang meninggalkannya bererti ia telah merobohkan agamanya, oleh itu kita umat islam wajib mengerjakannya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada mengingatkan kepada kita bahawa sembahyang merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah Subhanahu Wataala pada hari akhirat kelak, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:

Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu katanya, Sesungguhnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesungguhnya persoalan pertama yang akan ditanya dipertanggungjawabkan keatas manusia adalah sembahyangnya. Jika sembahyangnya baik, maka dia termasuk orang yang beruntung dan berjaya. Namun jika sembahyangnya rosak, maka dia termasuk orang yang kecewa dan rugi. (Riwayat Al-Imam An-Nasaie)

Sesungguhnya sembahyang mempunyai banyak kelebihan sepertimana yang termaktub dalam Al-Quran dan Al-Hadis, diantaranya ialah sebagai penghubung diantara manusia dengan Allah Subhanahu Wataala dan boleh memantapkan akidah dan iman dalam diri seseorang serta mencegah dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar. Selain daripada itu sembahyang juga boleh menghapuskan dosa dan membawa keampunan kepada segala dosa dan kesalahan.


Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Perlulah diingat, sembahyang lima waktu itu tidak boleh ditinggalkan sama sekali oleh orang islam yang mukallaf (akil baligh) dan suci daripada haidh dan nifas. Jika tidak mampu mengerjakannya dengan sebab ada sesuatu keuzuran seperti  tidak boleh berdiri maka diharuskan dengan cara duduk dan kalau tidak boleh duduk, maka diharuskan dengan cara berbaring dan jika semua anggota tidak berdaya, diharuskan dengan mengisyaratkan dengan kelopak mata, hatta kalau ia tidak mampu juga berbuat demikian, maka harus mendirikan sembahyang dengan cara meniatkan sembahyang didalam hati. Melihat kepada keringanan yang digariskan oleh islam, maka tidak ada alasan untuk kita mengabaikan kewajipan sembahyang walau dalam keadaan apa pun.


Muslimin yang dirahmati Allah,
Memandangkan betapa pentingnya kewajipan sembahyang ini dilaksanakan oleh setiap umat islam, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyuruh supaya ibadat sembahyang itu diajarkan kepada anak-anak sejak berumur tujuh tahun dan memukul mereka dengan pukulan yang munasabah jika enggan bersembahyang ketika umur sepuluh tahun. Inilah cara pendidikan awal untuk melatih anak-anak mengerjakan sembahyang yang mesti dilaksanakan oleh ibubapa. Selain daripada itu, kita iringkan juga dengan doa agar anak-anak dan keturunan kita sentiasa mendirikan sembahyang sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ibrahim ayat 40, tafsirnya:

Ya Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang tetap mendirikan sembahyang dan demikian juga zuriat keturunanku. Ya Tuhan kami! Perkenankanlah doaku.

Akan tetapi, apa yang mendukacitakan ialah terdapat segelintir umat islam mencuaikan amanah dan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak sehinggakan ada segelintir ibubapa membiarkan anak-anak mereka tidak menunaikan sembahyang.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya orang-orang yang meninggalkan sembahyang itu berdosa. Menurut para ulama terdapat tiga golongan mereka yang meninggalkan sembahyang.

Pertama: Golongan yang meninggalkan sembahyang kerana mengingkari hukum sembahyang itu wajib. Para ulama berpendapat bahawa   orang seperti itu adalah kafir.
Kedua: Golongan yang meninggalkan sembahyang tetapi menerima hukum sembahyang itu adalah wajib. Para ulama berpendapat orang seperti itu adalah fasik.
Ketiga: Golongan yang mendirikan sembahyang dengan bermalas-malas dan menunjuk-nunjuk, mereka ini ialah golongan munafik. Mereka ini akan menerima azab seksa yang amat pedih, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisa ayat 142, tafsirnya:

Sesungguhnya orang-orang yang munafik itu mahu memperdayakan Allah dengan menyatakan yang lain daripada apa yang ada dalam hati mereka dan dia (Allah) tetap membalas usaha tipu daya mereka dengan balasan seksa diakhirat. Dan apabila mereka berdiri untuk menunaikan sembahyang mereka berdiri dengan perasaaan malas dengan maksud riya’ kepada manusia supaya mereka disangka orang yang beriman, dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sahaja.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Para ulama berpendapatsesiapa yang meninggalkan sembahyang samada kerana keuzuran atau tanpa keuzuran, maka ia wajib mengqadha sembahyang tersebut. Menurut Imam Syafie sesiapa yang meninggalkan sembahyang kerana keuzuran seperti terlupa atau tertidur, maka adalah sunat baginya menyegerakan qadha sembahyang yang telah luput.

Adapun bagi sesiapa yang meninggalkan sembahyang tanpa keuzuran, maka wajib baginya mengqadha sembahyang tersebut seberapa segera. Sekiranya kita tidak mengingati jumlah sembahyang yang telah kita tinggalkan, menurut Imam Syafie hendaklah kita berasa yakin bahawa kita telah mengqadha sembahyang yang telah kita tinggalkan. Menurutnya lagi, sembahyang qadha boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa ada had tertentu. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:

Daripada Abu Qatadah katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesiapa yang meninggalkan sembahyang kerana terlupa atau tertidur, maka tunaikan sembahayng tersebut apabila mengingatinya.

Oleh yang demikian sama-samalah kita mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala dengan menunaikan sembahyang agar kehidupan seharian kita akan sentiasa aman bahagia kerana dapat mengindarkan diri dari melakukan perkara-perkara maksiat dan mungkar. Mudah-mudahan segala amal ibadat kita diterima Allah Subhanahu Wataala. Ingatlah kepada Allah Subhanahu Wataala dimana juga berada dengan harapan beroleh pengampunan dan rahmat daripadaNya jua, Amin Yarrabal Alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 45-46, tafsirnya:
Dan mintalah pertolongan kepada Allah Subhanahu Wataala atas segala pekerjaan kamu itu dengan membanyakkan sabar dan melakukan sembahyang. Dan sesungguhnya sembahyang itu sangat berat mengerjakannya melainkan bagi orang-orang yang khusyuk. Iaitu mereka yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

Attachments