Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

JUDI

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Allah Subhanahu Wata’ala mencipta manusia ini adalah untuk menyembah dan beribadat kepada-Nya dan mengurniakan nikmat untuk digunakan ke jalan yang diredai dan mengurniakan manusia akal fikiran supaya dapat membezakan mana baik dan mana yang buruk, mana hak dan mana yang batil, mana halal dan mana yang haram. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah mengingatkan bahawa yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Abi Abdullah An-Nuqman bin Basyir Radhiallahuanhuma, katanya aku dengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang) dan antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran. Yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia".

Islam tidak pernah mengajar umatnya supaya mendapatkan rezeki daripada sumber yang tidak halal, melainkan memerintahkan umatnya supaya mencari dan memakan daripada benda-benda yang baik dan halal. Salah satu sumber yang tidak halal itu ialah judi.

Di dalam bahasa Arab judi disebut sebagai 'Al-Maisir'. Al-Maisir yang bermaksud suatu bentuk permainan yang memakai atau menggunakan wang dan lain-lain sebagai taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu akan mendapat taruhan tersebut.

Agama Islam telah mengharamkan semua unsur perjudian sama ada melalui permainan, hiburan dan sebagainya kerana judi adalah perbuatan keji, perbuatan syaitan serta berdosa besar. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 90 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundai nasib dengan batang-batang anak panah, adalah kotor dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".

Ketahuilah! Bahawa syaitan mempergunakan Al-Maisir atau perjudian itu sebagai tempat untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara manusia, juga menjadi penghalang pelakunya daripada mengingati Allah Subhanahu Wata’ala dan daripada menunaikan sembahyang. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 91 tafsirnya :

"Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?".

Jumhur ulama berpendapat bahawa unsur penting dari melakukan Al-Maisir atau perjudian itu ialah 'taruhan'. Dalam pandangan mereka, adanya taruhan ini merupakan ilah (sebab) bagi haramnya Al-Maisir tersebut. Oleh yang demikian, setiap permainan yang mengandungi unsur taruhan adalah Al-Maisir dan hukumnya adalah haram. Antara permainan-permainan judi ialah loteri, tikam ekor, bertaruh, main katam dan bermacam-macam lagi nama yang diberi dengan pelbagai cara yang dicipta untuk menarik minat supaya orang berjudi.

Agama Islam telah awal-awal lagi mengharamkan judi dan menjelaskan kesan-kesan yang tidak baik daripadanya, tetapi masih ada dikalangan orang-orang Islam yang ingkar dan melakukan permainan yang haram ini. Seperti membeli tiket loteri atau nombor ekor yang dilakukan semata-mata untuk mendapatkan wang yang banyak dengan jalan mudah dan ingin cepat kaya dalam sekelip mata tanpa bersusah payah. Mereka terpikat dengan tawaran hadiah yang lumayan dengan bermodalkan sedikit tetapi boleh menang beribu-ribu ringgit. Gejala seumpama ini menyebabkan ada orang sanggup berjumpa bomoh, pergi ke kubur-kubur, memuja pokok-pokok besar dan pungsu kerana memohon nombor yang kononnya membawa tuah kepadanya, ada juga orang yang berusaha mendapatkan nombor kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, mendapatkan nombor dari mimpi dan bermacam-macam lagi. Apabila sudah terlalu ghairah untuk menang atau memang sudah menjadi kaki loteri, kaki tikam ekor, perbuatan salah menjadi benar sehingga sanggup pula melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah demi mencapai hasratnya.

Al-Maisir atau judi merupakan satu penyakit masyarakat yang berbahaya jika dibiarkan kerana ia merupakan gejala penyakit yang merosak kehidupan, bukan sahaja kepada orang yang berjudi itu tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan negara. Orang yang terpengaruh dengan judi, hati mereka tertutup dan buta menyebabkan mereka sanggup melakukan apa saja demi memuaskan hati agar segera dapat wang untuk dijudikan.

Judi juga mengakibatkan orang menjadi malas, tamak dan rakus, hasad dengki dan dendam, suka menimbulkan persengketaan dan pergaduhan serta hilang harta benda dan tiada maruah yang akhirnya pula boleh membawa manusia menjadi papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap anak isteri, masyarakat, negara dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah Subhanahu Wata’ala.

Oleh itu, janganlah hampiri permainan judi kerana ia suatu permainan yang boleh menjadikan pemainnya merasa ketagih dan sukar untuk meninggalkan-Nya kerana tiada merasa puas. Jika kalah pada permainan kali pertama, ia akan terus menerus mencuba dengan harapan untuk mendapat kemenangan. Apabila ia beroleh kemenangan, ianya akan menjadi bertambah seronok dan menjadikan judi itu sebagai sumber pendapatannya pula. Kalau sudah jadi kaki judi, soal kalah dan rugi tidak menjadi masalah kepada mereka, mereka sanggup bergadai dan berhutang. Kerana itu perlu diingat, jangan cuba-cuba mendekati judi jika tidak mahu terperangkap dengannya.

Ingatlah bahawa berjudi itu kerja maksiat. Wang yang diperolehi daripada judi adalah haram, tidak boleh digunakan apatah lagi jika digunakan untuk makan minum anak isteri. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengingatkan, setiap suap yang dimakan dari sumber yang haram itu, api neraka adalah lebih utama baginya. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :

"Dari Kaab bin Ujrat ia berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dan setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api Neraka lebih utama untuk membakarnya".

Oleh itu berhati-hatilah dalam mencari rezeki, carilah yang halal. Jauhkan diri dari perkara-perkara yang haram dan subahat. Bersyukurlah, walaupun rezeki hanya sedikit, asalkan halal dan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Sama-samalah kita berdoa semoga kita dimurahkan rezeki dan dipeliharakan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 tafsirnya :

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".

 


Attachments