Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

BERSUKAN

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana kita telah menikmati kehidupan dalam suasana rukun damai, aman sentosa, stabil dan makmur di Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Selaku rakyat Negara Brunei Darussalam, kita mempunyai acuan kita sendiri dalam mencorak gaya hidup kita berlandaskan prinsip negara 'Melayu Islam Beraja' dengan menjadikan agama Islam sebagai panduan hidup dalam semua aspek kehidupan termasuk kesihatan.

Islam mengalakkan setiap penganutnya supaya mempunyai kesihatan yang baik dan tubuh badan yang sihat, yang mana tuntutan ini dapat diperolehi melalui bersenam atau bersukan. Ianya merupakan amalan yang sihat dan salah satu unsur yang menjurus kepada kemantapan fizikal dan secara tidak langsung meningkatkan kecerdasan mental. Dengan kesihatan yang baik dan tubuh badan yang cergas seseorang akan dapat menambahkan keimanan dan ketakwaan dengan perlaksanaan ibadat yang lebih sempurna seperti ibadat sembahyang, puasa dan seumpamanya.

Islam tidak melarang untuk bersukan atau bermain apa jua jenis permainan asalkan tidak dicampur- adukkan dengan perkara-perkara yang haram. Perlu difahami di sini, dalam hal bersukan, kita semestinyalah mengikut panduan dan adab-adab bersukan dalam Islam. Jangan sampai kita melupakan batas-batas yang telah digariskan oleh agama Islam semata-mata inginkan kepuasan dan keseronokkan.

Antara adab-adab bagi seseorang muslim dalam bersukan adalah seperti berikut:

1/ Corak atau jenis sukan tersebut hendaklah sesuai dengan fitrah masing-masing. Jika lelaki biasanya dikaitkan dengan kegagahan dan kelasakannya, maka corak atau jenis sukan bagi kaum lelaki tentulah berbeza dengan jenis sukan yang dikhususkan bagi kaum wanita yang dikaitkan dengan kelembutannya.

2/ Hendaklah pakaian sukan tersebut bersesuaian dan menutup aurat. Dalam hukum Islam seorang lelaki wajib menutup apa yang ada di antara pusat dan dua lututnya, manakala bagi perempuan pula hendaklah menutup seluruh anggota tubuh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan luar dan dalam sehingga dua pergelangan tangan.

Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al Ahzab ayat 59 tafsirnya :

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali sebagai perempuan yang baik-baik, maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ingatlah Allah adalah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani".

3/ Sukan tersebut hendaklah tidak melalaikan. Walaupun sukan merupakan di antara jenis hiburan yang di sukai ramai, ianya mestilah dibatasi agar tidak melalaikan kita dari melaksanakan kewajipan-kewajipan syarak seperti sembahyang lima waktu dan tanggungjawab terhadap keluarga. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 87 tafsirnya :

"Dan janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas".

4/ Hendaklah sukan tersebut mendatangkan manfaat, sama ada kepada individu itu sendiri khasnya dan kepada masyarakat atau pada negara amnya. Sebagai contoh orang bersukan itu adalah untuk menjaga kesihatan tubuh badannya.

5/ Hendaklah bersukan tidak membawa kepada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan seperti mengaturkan mereka di satu tempat yang mana membolehkan mereka untuk bergaul bebas.

Pada masa kini, sukan bukan sahaja digemari oleh lelaki tetapi juga wanita, di antara sukan yang digemari ialah permainan bola sepak. Apa yang jelas pada masa kini ialah semakin ramai wanita yang terlibat dalam permainan bola sepak. Perkara ini bukan masalah baru, tetapi pernah difatwakan sejak 30 tahun yang lalu, oleh Mufti Kerajaan Brunei menerusi fatwanya bilangan 22, pada tahun 1976, muka surat 64. Antara petikan fatwanya :

"Bola sepak itu biasanya permainan orang laki-laki dan tarik kalat pun begitu juga, dan menurut kata Al-Imam Ibnu Hajar : Menyerupai laki-laki akan perempuan dalam perkara yang tertentu bagi perempuan pada segi urfi pada ralibnya (pada biasanya) pada pakaian, pada percakapan, pada gerak geri atau seumpamanya atau sebaliknya perempuan menyerupai laki-laki pada perkara yang tertentu bagi laki-laki, pada ralib atau biasanya pada urfi adat, adalah dosa besar, maka menurut tafsir atau takwil Al-Imam Ibnu Hajar itu, adalah main bola sepak atau tarik kalat atau lumba jalan kaki dan seumpamanya adalah ia permainan laki-laki".

Khutbah kita pada kali ini adalah bertujuan untuk memberikan peringatan, teguran dan nasihat serta menyampaikan ilmu pengetahuan menurut pandangan dan ajaran agama Islam.

Dalam hal ini, kita sepatutnya bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana agama kita telah menggariskan adab-adab dan panduan dalam kita mengharungi kehidupan di dunia ini, baik secara individu, bermasyarakat dan bernegara. Hanya dengan mematuhi apa jua yang diajarkan oleh agama Islam itu akan dapat memberikan kebahagiaan dan keselamatan serta mendapat rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Sebaliknya mengingkari larangan dan tegahan Allah Subhanahu Wataala itu akan menjauhkan kita daripada kasih sayang, rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya :

"Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu : Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".

Dalam kita sama-sama menentukan hala tuju hidup bagi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, maka marilah kita sama-sama menanai kewajipan dan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas kita selaku ibu bapa, suami dan ketua keluarga bagi memastikan perbuatan, amalan dan tindak-tanduk kita seharian adalah bertepatan dengan perintah Allah Subhanahu Wata’ala dan Rasul-Nya.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 92 tafsirnya :

"Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah, jangan sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu jika kamu berpaling enggan menurut apa yang diperintahkan itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul kami hanyalah menyampaikan perintah-perintah dengan jelas nyata".

 

 


Attachments