Tutong, Rabu, 11 Julai 2018M-Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato
Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji
Awang Othman hari ini berkesempatan mengadakan lawatan sertamerta bagi meninjau
dengan lebih dekat keadaan Ma’had Islam Brunei, di Daerah Tutong yang terjejas
oleh angin kencang dan hujan lebat pagi tadi.
Ketibaan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal
Ugama dan rombongan ke Ma’had Islam Brunei dialu-alukan oleh Pengetua Ma’had
Islam Brunei, Pengiran Asmadi bin Pengiran Haji Aliuddin serta Awang Zaidi bin
Haji Mohiddin, Timbalan Pengetua Pentadbiran dan Yang Mulia Dayang Hajah
Kamsiah binti Haji Morsidi, Timbalan Pengetua Akedemik Ma’had Islam Brunei.
Mula-mula Yang Berhormat Menteri Hal
Ehwal Ugama dan rombongan dibawa meninjau ke bilik-bilik darjah yang terjejas
oleh angin kencang awal pagi tadi dan mendapati kerosakan berlaku pada siling
dan cermin tingkap bilik darjah di Blok A dan Blok B.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
dan rombongan juga meninjau dan mempastikan segala kemudahan-kemudahan di
Ma’had berkenaan selamat untuk digunapakai.
Antara tujuan lawatan adalah untuk
memastikan keselamatan dan kesejahteraan serta keselesaan pelajar-pelajar,
guru-guru, bangunan Ma’had berkenaan. Pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama akan
mengambil tindakan-tindakan sewajarnya dan berbincang bersama pihak yang
berkenaan dalam menangani serta mengawal apa jua permasalahan yang mungkin
terjadi dalam keadaan cuaca yang di luar jangkaan.
Turut hadir dalam rombongan tersebut
ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang
Roslan bin Haji Taja’ah serta pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Gambar-gambar sekitar Lawatan Sertamerta Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ke Ma'had Islam Brunei selepas dilanda angin kencang:





