Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

HASIL RUKYAH AWAL BULAN RAMADHAN 1439 HIJRAH

Berakas, Selasa, 15hb Mei 2018-Umat Islam di Negara Brunei Darussalam akan menyambut 01 Ramadhan 1439H pada hari Khamis, 17 Mei 2018M. Perkara tersebut telah dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam setelah mendapat kurnia perkenan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Bilik Mesyuarat Menteri Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Turut sama hadir di persidangan tersebut ialah Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar; Menteri Kesihatan (Ahli Majlis Ugama Islam), Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Ketua Hakim Syar’ie (Ahli Majlis Ugama Islam), Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama (Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam).

Hakim-Hakim Syar'ie dan pegawai-pegawai Mahkamah-Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri telah berada di lima lokasi yang telah ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Ramadan 1439 Hijrah).

Lokasi tersebut ialah Menara DST, Bangunan DST Headquarters, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara;  Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Tanjung Batu, Pekan Muara, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait dan Bukit Amboq, Daerah Tutong.

Berikutan dengan itu, pengumuman satu Ramadhan bagi tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi telah disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) sebaik-baik sahaja rukyah pada petang tadi diumumkan.

Terdahulu, Majlis Keagamaan Bagi Menunggu Hasil Merukyah Anak Bulan Ramadhan 1439 Hijrah telah diadakan di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.

Acara Keagamaan Bagi Menunggu Hasil Usaha Rukyah Awal Bulan Ramadhan 1439 Hijrah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Yang Mulia Haji Awang Muhammad Fikri bin Haji Awang Metussin, Johan Qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1439M/2018M yang lalu.

Bacaan Tahlil dan Doa Arwah oleh Yang Mulia Awang Haji Malik bin Haji Jumat, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid RPN Kampong Lambak Kanan, Daerah Brunei Muara dan seterusnya mengimamkan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Mu’azzin Magrib dikumandangkan oleh Yang Mulia Awang Azizan bin Haji Asmat, Bilal Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien, Kampong Katimahar.

Attachments