بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 12
Jamadilakhir 1443H bersamaan 15 Januari 2022M–Orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wa
Ta‘ala benar-benar memahami bahawa kehidupan di dunia ini adalah singkat
dan sementara, dan dunia ini adalah tempat meninggal, bukan tempat tinggal yang
hakiki. Oleh itu mereka sentiasa rindu akan rahmat Allah Subhanahu Wa Ta‘ala
dalam setiap detik kehidupan.
Antara tanda rahmat Allah Subhanahu Wa
Ta‘ala kepada hambaNya adalah tatkala hambaNya memiliki perasaan mencintai
istighfar. Mereka ini mempunyai keinginan, kegemaran dan kesenangan akan beristighfar
kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.
Demikian isi tazkirah yang disampaikan
oleh Yang Mulia Awang Muhammad Yussof bin Haji Abd Majid, Pegawai Tugas-Tugas
Khas Tingkat II dari Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, Kementerian Hal Ehwal
Ugama semasa Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi minggu
ketiga tahun ini, dan minggu ke-18 sepanjang ianya diadakan.
Beliau menambah, hamba Allah yang
mencintai istighfar itu ialah hamba yang sentiasa mendapatkan kurniaan Allah.
Manakala para ahli maksiat yang diselimuti oleh dosa-dosa mereka enggan
beristighfar atau terkadang lalai untuk beristighfar. Yang Mulia Ustaz
mengingatkan kita untuk sentiasa beristighfar, mudah-mudahan kita menjadi hamba
Allah yang terpilih.
Alhamdulillah, Malam Munajat minggu ini
mendapat sambutan yang amat menggalakkan, lebih-lebih lagi dengan penyertaan
sama dari para jemaah masjid yang mengikuti dari ruang masjid masing-masing
sebagai aktiviti takmir masjid. Minggu ini sebanyak 30 buah masjid seluruh
negara mengikuti Malam Munajat secara maya.
Malam Munajat anjuran Kementerian Hal
Ehwal Ugama malam tadi telah disertai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang
Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, yang juga
mengepalai permulaan acara dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah
Al-Fatihah secara maya dari Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampong Sungai
Akar.
Ini diikuti dengan bacaan Surah Yasin
beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Zulhafiz bin Haji Awang Tengah,
Pegawai Pelajaran, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Doa Munajat pula
dibacakan oleh Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran
Haji Hassan, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Perdana Menteri.
Malam Munajat kali ini turut disertai
oleh penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di Universiti Al-Azhar yang
memimpin bacaan Zikir Taubat secara langsung dari Kaherah, Mesir.

Turut serta menyerikan Malam Munajat
minggu ini ialah kehadiran Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti
bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Yang Berhormat Pehin
Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah
Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; dan Yang Berhormat
Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya
Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Malam Munajat mengajak warga Kementerian
Hal Ehwal Ugama dan orang ramai untuk bersama-sama memohon keampunan dari Allah
Subhanahu Wa Ta’ala dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah
Yasin, berzikir, berselawat, merafa’kan doa dan diamiinkan secara serentak
beramai-ramai dengan harapan agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam terhindar
dan terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya, khasnya wabak
COVID-19.
Sama-samalah kita meningkatkan
kewaspadaan kita dalam mencegah penularan wabak ini dan sentiasa berdoa kepada
Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga negara kita akan dilindungi serta bebas
daripada wabak berkenaan dengan izin-Nya jua.


