Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

PEMBUKAAN SESI PERSEKOLAHAN SEKOLAH-SEKOLAH UGAMA, ARAB DAN INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN BAGI PERINGKAT KEDUA FASA ENDEMIK TAHUN 2022

Hari Sabtu, 12 Jamadilakhir 1443H bersamaan 15 Januari 2022M

1. Merujuk kepada pembukaan sesi persekolahan Peringkat Pertama Fasa Endemik Tahun 2022 bagi sekolah-sekolah Arab dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang telah bermula pada hari Isnin, 29 Jamadilawal 1443 bersamaan 03 Januari 2022 bagi pelajar-pelajar Tahun 10 hingga Pra U, yang hadir secara fizikal ke sekolah untuk mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka empat (04) hari dalam seminggu dan secara dalam talian pada setiap hari Sabtu.

2. Alhamdulillah, pelaksanaan sesi persekolahan tersebut berjalan dengan lancar dan teratur mengikut garis panduan serta Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua warga sekolah.

3. Oleh itu, adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Peringkat Kedua pembukaan sekolah akan bermula pada 14 Jamadilakhir 1443 bersamaan 17 Januari 2022 yang akan melibatkan pelajar-pelajar Darjah V dan VI sekolah-sekolah ugama serta pelajar-pelajar Tahun 7 hingga 9 sekolah-sekolah Arab dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Pelaksanaan sesi persekolahan adalah seperti berikut:

i. Pelajar-pelajar Darjah V dan VI persekolahan ugama akan mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka sebanyak lima (05) hari seminggu. Manakala pelajarpelajar yang tidak hadir ke sekolah akan mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian ataupun diberikan Home Learning Pack (HLP).

ii. Pelajar-pelajar Sanah 7 hingga Sanah 9 persekolahan Arab dan Institut Tahfiz AlQuran Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka empat (04) hari dalam seminggu (Isnin hingga Khamis) dan secara dalam talian pada setiap hari Sabtu, di samping pelajar-pelajar Sanah 10 dan 11 serta Pra U1 dan Pra U2 yang telah mula bersekolah pada Peringkat Pertama yang lalu.

4. Manakala pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah, iaitu Sanah 5 dan 6 persekolahan Arab serta pelajar-pelajar peringkat Pra Sekolah Ugama dan Darjah I hingga Darjah IV akan meneruskan sesi pembelajaran sepenuhnya secara dalam talian atau diberikan Home Learning Pack (HLP) bagi pelajar yang memerlukan.

5. Berkaitan pemeriksaan ART di Peringkat Pertama persekolahan Fasa Endemik, seramai 2158 orang pelajar Sanah 10 hingga Pra U telah menjalani pemeriksaan Antigen Rapid Test (ART) yang telah ditetapkan seminggu sekali dan Alhamdulillah, keputusan ujian semua pelajar adalah negatif. Hanya satu (01) kes didapati false positive, walau bagaimanapun keputusan ujian PCR yang dilaksanakan adalah negatif.

6. Pada Peringkat Kedua pembukaan sekolah ini, pemeriksaan ART bagi pelajar-pelajar sekolah Arab akan dilaksanakan di sekolah masing-masing, manakala pelajar-pelajar sekolah ugama akan menjalani pemeriksaan di sesi persekolahan menengah mereka. Berkaitan itu pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengajian Islam telah menyediakan borang khas untuk pengesahan pihak sekolah mengenai keputusan ujian yang dilaksanakan.

Borang yang telah disahkan itu nanti akan digunakan bagi membolehkan pelajar-pelajar mengikuti pembelajaran secara bersemuka di persekolahan ugama.

7. Dalam kesempatan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama para guru, ibu bapa, pelajar serta semua pihak yang berkenaan dalam sama-sama memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan teratur mengikut garis panduan dan SOP yang telah ditetapkan.

8. Akhirnya marilah kita bersyukur dan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, terus meningkatkan kewaspadaan kita dalam mencegah penularan wabak ini, dan sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga negara kita akan dilindungi dan bebas daripada wabak berkenaan dengan izin-Nya jua.
Sekian.

SIARAN MEDIA YANG BERHORMAT MENTERI HAL EHWAL UGAMA PADA 15 JANUARI 2022


Attachments