Bandar Seri Begawan, Jumaat, 11 Jamadilakhir 1443H bersamaan 14 Januari 2022M–Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) telah mengeluarkan keputusan peperiksaan Pemilihan Calon ke Sekolah Arab (PCKSA) tahun 1442H / 2021M.
a) Keterangan Pencapaian
Seramai 2,386 orang calon telah menduduki peperiksaan PCKSA, dan daripada jumlah tersebut seramai 754 orang calon (31.60%) telah lulus dan seterusnya akan masuk mengikuti pengajian Tahun 5 di sekolah-sekolah Arab yang berkenaan bagi sesi pengambilan tahun 1443H / 2022M. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.14% daripada pencapaian tahun 2020. Daripada jumlah tersebut, seramai 367 orang (31.23%) adalah calon lelaki dan 387 orang (31.96%) adalah calon perempuan.
b) Guru-guru Besar sekolah ugama yang berkenaan hendaklah mengambil keputusan calon bagi sekolah masing-masing pada hari Sabtu, 12 Jamadilakhir 1443H bersamaan 15 Januari 2022M di pejabat Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam bertempat di Lantai Bawah, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Berakas bermula jam 3.00 petang. Ibu bapa atau penjaga calon bolehlah menghubungi pihak sekolah di mana anak mereka bersekolah ugama untuk mengetahui keputusan anak masing-masing.
c) Sehubungan dengan itu, ibu bapa atau penjaga bagi calon-calon yang lulus dalam peperiksaan ini bolehlah mengambil Borang Pendaftaran / Kemasukan Ke Sekolah Arab di sekolah-sekolah Arab berikut:
BIL | CALON | DARI DAERAH | TEMPAT MENGAMBIL BORANG |
i. | Lelaki | Brunei & Muara | Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah |
ii. | Perempuan | Brunei & Muara | Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (bangunan SUAMPRIPAD) |
iii. | Lelaki dan perempuan | Tutong | Ma’had Islam Brunei, Tutong |
iv. | Lelaki dan perempuan | Belait | Sekolah Arab Belait |
v. | Lelaki dan perempuan | Temburong | Sekolah Arab Temburong |
Borang berkenaan bolehlah diambil bermula hari Isnin, 14 Jamadilakhir 1443H bersamaan 17 Januari 2022M pada hari bekerja, dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan pukul 2.00 petang hingga 4.00 petang. Tarikh akhir mengembalikannya semula adalah pada hari Selasa, 22 Jamadilakhir 1443H bersamaan 25 Januari 2022M.
Ibu bapa atau penjaga pelajar dari Sekolah al-Falaah hendaklah mengambil Borang Pendaftaran / Kemasukan Ke Sekolah Arab di Sekolah Al-Falaah Sungai Akar bermula hari Isnin, 14 Jamadilakhir 1443H bersamaan 17 Januari 2022M, dan mengembalikan semula borang tersebut ke Sekolah al-Falaah Sungai Akar tidak lewat hari Selasa, 22 Jamadilakhir 1443H bersamaan 25 Januari 2022M.
Ibu bapa atau penjaga calon-calon peperiksaan yang ingin mendaftar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) bolehlah berbuat demikian menggunakan telefon bimbit, dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) NOMBOR PUSAT PEPERIKSAAN (jarak) NOMBOR INDEKS CALON dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST dan 38666 bagi pelanggan Progresif.
Keputusan peperiksaan SMS hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan. Pelanggan akan dikenakan caj bayaran B$1.00 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima. Sehubungan dengan itu, dipohonkan kepada para pelanggan supaya memastikan telefon bimbit masing-masing mempunyai kredit yang mencukupi.