Bandar Seri Begawan, Jumaat, 29hb.
Jamadilakhir 1442H bersamaan 12hb. Februari 2021M–Tiga (03) buah restoran didapati telah gagal untuk membuat
permohonan Sijil Halal ketika operasi dijalankan di kawasan Bandar Seri Begawan
pada 11 Februari 2021.
Operasi tersebut merupakan susulan
daripada operasi yang telah dijalankan sebelum ini pada 30 Julai 2020 di mana
empat puluh tiga (43) buah restoran telah dikeluarkan Notis Arahan untuk
membuat permohonan Sijil Halal dalam tempoh enam (06) bulan setelah tamat
tempoh tersebut, 14 buah restoran didapati masih gagal membuat permohonan dan
telah diberikan surat amaran sebagai Peringatan Terakhir bagi membuat
permohonan dalam tempoh tujuh (07) hari.
Walau bagaimanapun, ketika operasi
dijalankan pada 11 Februari 2021, tiga (03) buah restoran didapati masih gagal
membuat permohonan Sijil Halal setelah didapati beroperasi lebih dari enam (06)
bulan. Kegagalan premis-premis ini membuat permohonan adalah menjadi suatu
kesalahan di bawah Bab 4 (1), Perintah Sijil Halal Dan Label Halal, 2005 yang
menghendaki bagi mana-mana orang yang memiliki suatu perniagaan menyediakan
makanan di Negara Brunei Darussalam untuk membuat permohonan untuk mendapatkan
Sijil Halal.
Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin
menekankan dan mengingatkan kepada pengusaha-pengusaha makanan di Negara ini
bahawa permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal adalah
mandatori seperti yang diperuntukkan di bawah Bab 4 (1) dan Bab 10 (1) (a),
Perintah Sijil Halal Dan Label Halal, 2005. Kegagalan membuat permohonan adalah
menjadi kesalahan dan jika sabit boleh dikenakan denda sehingga $8,000 atau/dan
penjara sehingga 2 tahun menurut Bab 4 (5) dan Bab 10 (6), Perintah Sijil Halal
Dan Label Halal (Pindaan), 2017.