Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

SIARAN AKHBAR MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN KEWANGAN MAJLIS UGAMA ISLAM MELALUI KUMPULAN WANG PENTADBIRAN AM KEPADA PENIAGA / PENGUSAHA KECIL YANG TERJEJAS PENDAPATAN AKIBAT PENULARAN WABAK COVID-19

Berakas, 18 April 2020M, Sabtu-,Pada menjujung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Titah Perutusan Khas Baginda mengenai COVID-19 pada hari Isnin, 19hb. Sya’ban 1441 bersamaan 13hb. April 2020 dan pada melaksanakan keputusan-keputusan Majlis Ugama Islam berhubung Bantuan Kewangan Majlis Ugama Islam kepada beberapa Kategori Peniaga / Pengusaha kecil yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak COVID-19 yang terdiri daripada peniaga-peniaga tamu, gerai dan pasar, pemandu-pemandu perahu, teksi, dart dan pemandu pelancongan (tour guide),  maka pada hari ini Sabtu, 24hb. Sya’ban 1441 bersamaan 18hb. April 2020 bertempat di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis telah diadakan Majlis Penyerahan bantuan kewangan Majlis Ugama Islam melalui Kumpulan Wang Pentadbiran Am kepada Peniaga / Pengusaha yang terjejas pendapatan akibat penularan Wabak COVID-19 yang berdaftar di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Majlis Ugama Islam mempunyai beberapa Kumpulan Wang yang ditabir sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 iaitu Kumpulan Wang Pentadbiran Am, Kumpulan Wang Zakat dan Kumpulan Wang Wakaf Majlis Ugama Islam. Bantuan kewangan Majlis Ugama Islam yang akan diberikan kepada Peniaga / Pengusaha yang terjejas pendapatan akibat penularan Wabak COVID-19 ini adalah daripada Kumpulan Wang Pentadbiran Am, Majlis Ugama Islam iaitu wang kutipan hasil perkhidmatan ugama seperti Mahkamah-Mahkamah Syariah, bayaran Sijil dan Permit Halal, faedah bank (interest), penjualan dan pengambilan balik tanah Kerajaan, sewa tanah, sewa kedai, wang yang diserahkan kepada Baitul Mal dan harta yang tidak bertuan.

Jumlah keseluruhan penerima ialah seramai 2,154 orang peniaga atau pengusaha kecil yang terjejas pendapatan, dan jumlah keseluruhan bantuan kewangan ialah sebanyak $1,938,600.00. Setiap seorang akan menerima sebanyak $900.00 iaitu $300.00 akan dibayar bagi tempoh 3 bulan. Bantuan ini diberikan kepada peniaga / pengusaha kecil yang terjejas termasuk yang bukan berugama Islam dengan mengambil kira kesan pemberian kepada mereka itu adalah baik kepada orang Islam dan ugama Islam.

Jumlah bantuan kewangan Majlis Ugama Islam yang diserahkan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri ialah sebanyak $1,719,000.00 iaitu bagi 1910 orang peniaga atau pengusaha kecil yang terjejas iaitu peniaga tamu, gerai dan pasar.

Jumlah bantuan kewangan Majlis Ugama Islam yang diserahkan kepada Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan ialah sebanyak $72,900.00 iaitu bagi 81 pemandu pelancongan (tour guide).

Jumlah bantuan kewangan Majlis Ugama Islam yang diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Info Komunikasi ialah sebanyak $104,400.00 iaitu bagi 116 pemandu teksi, dart dan pemandu-pemandu perahu tambang.

Jumlah bantuan kewangan Majlis Ugama Islam yang diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan ialah sebanyak $42,300.00 iaitu bagi 47 peniaga kecil-kecilan.

Senarai para Peniaga / Pengusaha yang terjejas pendapatan akibat penularan Wabak COVID-19 ini adalah hasil daripada penelitian oleh satu Taskforce yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam iaitu bagi mengenalpasti golongan peniaga yang layak diberikan bantuan berkaitan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan ahli-ahlinya dianggotai oleh beberapa Setiausaha Tetap, Pegawai-Pegawai Daerah, Pengerusi-Pengerusi Lembaga Bandaran serta agensi-agensi yang berkaitan.

Penyerahan bantuan kewangan telah diserahkan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di Pertua Majlis Ugama Islam kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof Menteri Pengangkutan dan Info Komunikasi dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, bagi pihak Kementerian masing-masing yang akan menyampaikan kepada mana-mana yang disenaraikan oleh pihak Kementerian masing-masing itu.

Turut hadir dalam Majlis ini ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di Pertua Majlis Ugama Islam, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Info Komunikasi, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam.






 

Attachments