Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

MAJLIS PERASMIAN MUZAKARAH PENGKURSUS IBADAT HAJI BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1441H/2020M

BANDAR SERI BEGAWAN, 11hb Februari 2020M, Selasa-Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji merupakan salah satu aktiviti tahunan Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang diungkayahkan oleh Bahagian Bimbingan Haji Dan Umrah, sebagai persiapan awal kepada pengkursus ibadah haji sebelum Kursus Ibadah Haji bermula untuk menyampaikan ilmu pengetahuan mengenai manasik haji serta yang berkaitan dengannya kepada bakal jemaah haji di negara ini.

Sehubungan dengan itu, pagi tadi telah berlangsung Majlis Perasmian Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji yang diadakan di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Negara Brunei Darussalam.

Tetamu Kehormat di Majlis tersebut dan seterusnya merasmikan Muzakarah ialah Yang Mulia, Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Pada tahun ini, Jabatan Urusan Haji telah mengundang 150 orang peserta daripada seluruh Kementerian di negara ini untuk menghadiri Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji.

Majlis pagi tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa oleh Yang Mulia Awang Haji Matudin bin Haji Tahir, Ketua Bahagian Haji dan Umrah, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama, kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan dari Pengerusi Majlis, Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Mohamad, Pemangku Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Acara diteruskan dengan ucapan dari Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Dalam ucapannya, beliau yakin semua peserta kursus akan mendapat ilmu yang diperoleh dan dijadikan sebagai tambahan bagi memantapkan lagi kefahaman ilmu ibadat haji yang sedia ada.

Menurutnya, guru-guru pengkursus merupakan penyampai dan berperanan penting dalam menyalurkan informasi dan maklumat ilmu manasik haji kepada bakal-bakal jemaah haji hingga menjadikan mereka betul-betul mengetahui dan memahaminya.

Beliau seterusnya berharap kepada peserta-peserta yang lainnya supaya akan dapat mengongsikan ilmu dan maklumat yang diperoleh kepada kawan-kawan dan rakan-rakan sama ada yang menuntut di institusi-institusi pengajian tinggi, maktab-maktab, sekolah-sekolah mahupun rakan sekerja di jabatan di kementerian masing-masing.

Beliau turut menyarankan kepada Jabatan Urusan Haji supaya akan dapat berusaha dengan lebih proaktif lagi, untuk membuat sesuatu yang boleh dipertingkatkan dalam menyebarluaskan ilmu ibadat haji di samping menyalurkan maklumat-maklumat terkini berhubung dengan pengurusan dan perkhidmatan-perkhidmatan haji yang disediakan serta cabaran-cabaran tidak dijangkakan yang akan dihadapi setiap tahun.

Sebanyak tiga Pembentangan Kertas Kerja telah dibentangkan iaitu Kertas Kerja Perdana bertajuk “Penghayatan Ibadat Haji Di Bumi ‘Arafah Dan Mina” disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit, Penolong Pensyarah, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); Kertas Kerja mengenai “Beberapa Hukum Berbangkit Ketika Berada Di Tanah Suci” yang bertajuk “Mabit di Muzdalifah, Tahallul Awal & larangan ke atas lelaki yang berihram” disampaikan oleh Yang Mulia Haji Awang Mohammad Raimi bin Awang Tengah; Pegawai Istinbat Kanan, Jabatan Mufti kerajaan, Jabatan Perdana menteri dan  Awang Haji Martino @ Abdul Azim bin Haji Ahmad, Pegawai Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri dan Kertas Kerja Ketiga ialah Manasik Haji Wanita, yang membawa tajuk: “Tawaf Ifadhah Jemaah Haji Wanita Yang Dalam keadaan Haid” oleh Yang Mulia Dayang Hajah Noraini bte Haji Buntar; Pegawai Istinbat Kanan, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.

Objektif Muzakarah tersebut diadakan adalah bagi mendalami dan menyingkap hukum-hakam berkaitan dengan haji, umrah dan ziarah yang akan disampaikan selaras dan seragam tidak ada percanggahan hukum yang diberikan kepada para bakal jemaah haji oleh guru-guru pengkursus.

Melengkapkan dan mempersiapkan diri guru-guru pengkursus dengan ilmu-ilmu ibadat haji dan bimbingan haji serta sama-sama membincangkan mengenai masalah-masalah hukum yang timbul semasa pelaksanaan manasik haji pada musim haji yang lepas dikalangan para jemaah.

Memberikan gambaran dan situasi keadaan terkini di Tanah Suci, ‘Arafah, Mina seperti kemudahan-kemudahan yang disediakan, ekspektasi-ekspektasi bakal jemaah haji semasa berada di Tanah Suci dan apa jua dasar serta peraturan Kerajaan Arab Saudi yang ditetapkan serta menyebarluaskan ilmu-ilmu manasik haji di kalangan pegawai-pegawai, kakitangan dan juga mahasiswa dan mahasiswi Institusi-Institusi Pengajian Tinggi.

Diharapkan muzakarah ini dapat mencapai objektifnya dan memantapkan lagi guru-guru pengkursus dengan ilmu ibadat haji dalam menyampaikan kursus ibadat haji kepada bakal jemaah haji tahun 1441H/2020M disamping ilmu ibadat haji dapat disebarluaskan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan awam serta mahasiswa dan mahasiswi institusi-institusi pengajian tinggi.



Attachments