Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

CERAMAH MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU 'ALAIHI WASSALAM

Belait, Khamis, 14 November 2019-Kehadiran bulan Rabiulawal iaitu bulan yang ketiga dalam takwim hijrah sentiasa dinantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Bulan ini lahirnya seorang nabi yang terakhir yang menjadi nabi bagi umat Islam sehingga hari kiamat. Bagindalah Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wassalam iaitu seorang insan yang teragung dan mulia. Kehadirannya merubah lanskap kehidupan dunia. Maka berakhirlah zaman kegelapan kejahilan dan digantikan dengan zaman cahaya keimanan.

Bulan yang cukup bermakna ini disambut dan diraikan dengan besar-besaran oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia bagi menzahirkan rasa syukur dan cinta terhadap baginda Shallallahu 'Alaihi Wassalam.

Berikutan itu, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Kampong Pandan, Daerah Belait telah mengungkayahkan Ceramah Bersempena Dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wassalam Tahun 1441H / 2019M.

Antara tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wassalam. Melalui acara ini juga dihasrat dapat menghayati sirah perjuangan dan pengorbanan Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wassalam dalam menyebarkan agama Islam. Selain itu, majlis seumpama ini juga bertujuan untuk membina akhlak, penampilan dan keperibadian diri dengan mencontohi Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wassalam.

Hadir selaku Tetamu Khas pada majlis tersebut ialah Penasihat Bersama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Kampong Pandan, Daerah Belait iaitu Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Jamain bin Haji Julaihi dan Yang Mulia Awang Haji Salleh Bustaman bin Haji Zainal Abidin.

Acara pada hari tersebut dimulakan dengan surah al-Fatihah dan Doa Selamat. Kemudian ceramah telah disampaikan oleh Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) Yang Mulia Awang Haji Anwari bin Haji Rawi.

Semoga dengan adanya ceramah ini, diharap sedikit sebanyak akan memberi ilmu pengetahuan serta maklumat yang bermanfaat kepada para hadirin iaitu khususnya dalam sirah perjalanan teragung baginda Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wassalam di samping dapat menarik lebih ramai penduduk sekitar kampung untuk sama-sama sentiasa memakmurkan masjid.


Attachments