Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

ROMBONGAN DIKIR KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE MASJID, SURAU DAN BALAI IBADAT SELURUH NEGARA SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM BAGI TAHUN 1441H/2019M

Belait, Rabu, 06 November 2019M-Selain untuk memeriahkan dan memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, Majlis Dikir di Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara adalah bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala, selain memupuk kesedaran dan keinsafan umat Islam dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam dalam menyebarkan ugama Islam.

Di samping itu, menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam serta memohon ganjaran teristimewa dan syafa’at bagi orang-orang yang berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam adalah amalan mulia dalam pembentukan jati diri individu muslim. Antara ganjaran yang akan diperolehi oleh orang yang sentiasa berselawat ialah sebagaimana dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahwa sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda sesiapa mengucapkan selawat kepada ku, Allah Subhanahu wata’ala berselawat (memberi rahmat) kepadanya sepuluh kali.

Sehubungan dengan itu, bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang disambut pada 12hb Rabiulawal setiap tahun, semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara akan terus bergema dengan Dikir Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam selama 12 malam berturut-turut mulai 01 Rabiulawal 1441 Hijrah yang lalu.

Dalam kesempatan ini, rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan lagi Majlis Ihya Maulidur Rasul di Masjid Kampong Labi, Daerah Belait. Hadir selaku Ketua Rombongan pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan dikuti dengan dikir yang dibawakan oleh Pegawai-Pegawai, Guru-Guru Ugama dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kumpulan Belia Masjid dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampong Labi.

Majlis seumpama ini diadakan sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid, selain mengingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan jemaah masjid dan penduduk kampung.

Dikir Syarafil Anam 12 Malam Berturut-Turut Bagi Rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam seterusnya akan berkunjung di Masjid Omar Ali Saifuddien di selajurkan dengan Majlis Penutup Dikir Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1441H / 2019M pada hari Jumaat, 08 November 2019 bermula jam 8.00 malam.

Turut sama hadir ialah Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput, Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga selaku Ketua Kampong Labi I, Yang Mulia Awang Haji Mohd Serudin bin Haji Timabgn, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Awang Ramlee bin Haji Jamudin, Pegawai Daerah Belait.


                                                                                                                              

           
Attachments