Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN PERHIMPUNAN DAN PERARAKAN SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALAHU ‘ALAIHI WASALLAM PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN 1440 HIJRAH

Berakas, Khamis, 29 November 2018M,-Majlis Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Tahun 1440 Hijrah telah diadakan bertempat di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Negara Brunei Darussalam.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin Bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Bagi Kategori Sekolah Menengah / Arab / Maktab / Institusi Pengajian Tinggi / Swasta, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diumumkan sebagai juara Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammmad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara pada tahun ini. Tempat kedua pula ialah Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Manakala pemenang ketiga jatuh kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Johan menerima wang tunai BND4,500, naib johan BND3,500, ketiga BND3,000 dan BND1,400 bagi penghargaan berserta hadiah iringan dan sijil.

Juara bagi Kategori Kementerian dan Jabatan Kerajaan sekali lagi dimenangi oleh pasukan Kementerian Pembangunan yang berjaya mengekalkan prestasi kejuaraannya dengan membawa pulang hadiah wang tunai BND3,500, piala iringan dan sijil penyertaan.

Tempat kedua dimenangi oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan Awam di tempat ketiga, masing-masing memenangi wang tunai BND2,000 dan BND1,500 berserta hadiah iringan dan sijil.

Juara Kategori Persatuan-Persatuan dan Sektor Swasta pula ialah Persatuan Masyarakat Indonesia (PERMAI) berjaya mendominasi kategori berkenaan bagi tahun ini dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak BND2,000, hadiah iringan dan sijil.

TelBru di tempat kedua dengan hadiah BND1,000 dan Pertubuhan Zaidana di tempat ketiga dengan BND700 berserta hadiah iringan dan sijil.

Pemenang bagi Kategori Kampung dan Takmir Masjid dengan hadiah wang tunai BND 3,500 dan hadiah iringan serta sijil dijuarai oleh Ukhwah Kejiranan Rancangan Perumahan Negara Meragang sekaligus membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya menerima Hadiah Khas majlis sambutan kali ini.

Di tempat kedua, AJK Takmir Masjid dan Kumpulan Belia Masjid Kampung Perpindahan Serasa, Muara dengan membawa pulang BND2,000 manakala pemenang ketiga, Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia membawa pulang hadiah wang tunai BND1,500.

Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Bagi Tahun 1440 Hijrah yang bertemakan “Tarbiyah Rasulullah Membawa Rahmat Dalam Berkeluarga” yang telah berlangsung pada Hari Selasa, 12 Rabiulawal 1440H bersamaan 20 November, 2018M yang lalu, disertai oleh 126 pasukan dengan keramaian 13,008 orang peserta, telah mengambil bahagian mengikut kategori masing-masing dengan jarak perarakan yang dilalui iaitu sejauh 2.3 kilometer.

Sebanyak 5 Kategori dipertandingkan pada tahun ini iaitu kategori Sekolah Menengah / Arab/ Maktab/ Institusi Pengajian Tinggi/ Swasta; kategori Kementerian dan Jabatan Kerajaan; kategori Persatuan-persatuan dan Sektor Swasta; kategori Kampong dan Masjid; dan kategori Hadiah Khas.

Para pemenang telah menerima hadiah wang tunai, hadiah iringan serta sijil penyertaan untuk kepada semua pasukan yang menyertai perhimpunan dan perarakan pada tahun ini. Demikian juga, hadiah khas berupa wang tunai turut diberikan kepada pasukan-pasukan terpilih di setiap kategori yang memenanginya. Penilaian bagi kategori ini mengambil kira keberadaan dan kesiap-siagaan pasukan-pasukan berkumpul, keseragaman segi pakaian, Aksesori tambahan yang dibawa menambahkan keunikan pasukan, kreativiti hiasan rangka bingkai sepanduk dan beratur secara rapi sebelum lagi acara majlis dimulakan.

Sijil Penghargaan juga diberikan kepada Hakim-hakim Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan dimajlis tersebut. 

 


Attachments