Kementerian Hal Ehwal Ugama
melalui Pusat Pengajian Dan Penyebaran Al-Quran MABIMS akan menganjurkan
Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan Tahun
1442 Hijrah.
Ini adalah merupakan salah
satu projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyemarakkan Hari-Hari
Kebesaran Islam dan merupakan pengisian dalam aturcara Majlis Sambutan Nuzul
Al-Quran Peringkat Negara yang diadakan setiap Tahun.
Penyertaan Musabaqah
tersebut dibukakan kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap
yang berugama Islam dan setiap penyertaan hanya boleh mengikuti satu Kategori
musabaqah sahaja dengan mengikut syarat-syarat bagi setiap Kategori.
Musabaqah Menghafaz Al-Quran
Berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan Tahun 1442 Hijrah akan
mempertandingkan sebanyak 5 kategori iaitu Kategori A,B,C,D dan E sebagaimana
berikut:-
Kategori 'A'
– Terbuka kepada peserta yang berumur 13 tahun ke bawah yang lahir pada
tahun 2008 ke atas; dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori 'A'
sebanyak 2 kali berturut-turut iaitu pada tahun 1440H dan 1441H; dan bukan
terdiri dari penuntut Institut Tahfiz Al-Quran dalam dan luar negeri semasa
mendaftar dan menghantar borang permohonan.
Menghafaz Juz 1 iaitu Juz
30, dan berserta Pemahaman Surah-Surah Pilihan iaitu:- Surah Al-Ghaasyiyah; Surah
Al-Fajr; Surah Adh-Dhuhaa dan Surah Al-Qadr.
Kategori 'B'
– Terbuka kepada peserta yang berumur 14 tahun ke atas yang lahir pada tahun
2007 ke bawah; Tidak menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara
Brunei Darussalam dalam kategori 10,20, dan 30 juz 4 kali berturut-turut secara
kebelakangan dari tahun tutup penyertaan; dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori
'B' sebanyak 2 kali berturut-turut iaitu tahun 1440H/1441H; dan bukan
terdiri dari penuntut Institut Tahfiz Al-Quran dalam dan luar negara semasa
mendaftar dan menghantar borang permohonan.
Menghafaz Surah-Surah
Pilihan iaitu:- Surah Al-Kahfi, Surah Luqmaan, Surah As-Sajdah, Surah
Ar-Rahmaan, Surah Al-Waaqi'ah, Surah Al-Mulk, Surah Al-Insaan, Surah Yaasin dan
Surah Jiin berserta Pemahaman Surah Al-Jumu’ah dan Surah An-Nur.
Kategori 'C'
- Terbuka kepada semua peringkat umur; dan tidak menerima Elaun Ujian
Tasmie' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam Kategori 10,20 dan 30
Juz 4 tahun berturut-turut secara belakangan dari tarikh tutup penyertaan;
serta tidak pernah menjadi johan dalam Kategori 'C' sebanyak 2 kali
bertutut-turut.
Menghafaz 3 Juz Al-Quran
iaitu daripada Juz 1 hingga Juz 3 berserta Pemahaman Surah Al- Maa’idah.
Kategori 'D'
- Terbuka kepada semua peringkat umur; tidak pernah menerima Elaun Ujian
Tasmie' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam Kategori 30 juz dan
tidak pernah menjadi johan dalam Kategori 'D' sebanyak 2 kali berturut-turut.
Menghafaz 15 Juz Al-Quran
iaitu daripada Juz 1 hingga Juz 15 berserta Pemahaman Surah Al-Anbiyaa’ dan
Surah Al-Hajj.
Kategori 'E'
- Terbuka kepada semua peringkat umur; dan tidak pernah menjadi johan 3 tahun
berturut-turut dalam Kategori menghafaz 30 Juz. (Peserta yang pernah menjadi
johan 3 tahun berturut-turut dalam Kategori ‘E’ HANYA boleh menyertai
musabaqah semula selepas 2 tahun menjadi johan).
Menghafaz 30 Juz Al-Quran
iaitu daripada Juz 1 hingga Juz 30 berserta Pemahaman Surah Al-Ahqaaf, Surah Muhammad,
Surah Al-Fath, Surah Al-Hujuraat dan Surah Qaff.
Borang-borang penyertaan
mula dibukakan kepada orang ramai bermula pada hari Isnin, 17 Ogos 2020M. Borang
Penyertaan tersebut bolehlah diperolehi di Pusat Pengajian Dan Penyebaran
Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Blok 2H Tingkat 8, Kondominium
Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan, BA1311, Negara Brunei
Darussalam.
Borang penyertaan yang
lengkap hendaklah dikembalikan ke Pusat Pengajian Dan Penyebaran Al-Quran
MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Blok 2H Tingkat 8, Kondominium Ong Sum
Ping, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan, BA1311, Negara Brunei Darussalam
tidak lewat pada hari Isnin, 30 November 2020M, jam 4.00 petang.